Kubu Pertahanan Dari Godaan Syaitan
Tuesday, May 26, 2009
Dirumuskan oleh salah seorang dari para salihin dengan katanya: “Ku renung dan ku fikir, dari pintu manakah syaitan itu memasuki hati manusia, tiba-tiba ku dapati syaitan memasukinya dari sepuluh pintu:
1. Tamak dan jahat sangka, lantas aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada setelah berusaha dan berikhtiar.
2. Cintakan hidup dan panjang angan-angan, lantas aku menghadapinya dengan rasa takut terhadap kedatangan maut dengan tiba-tiba.
3. Cintakan kerehatan dan nikmat, lantas aku menghadapinya dengan meyakini bahawa nikmat itu akan hilang dan meyakini balasan buruk.
4. Kagum pada diri sendiri (‘ujub), lantas aku menghadapi dengan mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah dan takutkan balasan seksaan.
5. Pandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lantas aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak-hak dan kehormatan mereka.
6. Hasad, lantas aku menghadapinya dengan sifat qana’ah (berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar) dan redha terhadap pemberian Allah kepada makhluk-Nya.
7. Riya’ dan sukakan pujian manusia, lantas aku menghadapinya dengan sifat ikhlas.
8. Bakhil, lantas aku menghadapinya dengan meyakini bahawa apa yang ada di tangan makhluk itu akan binasa sedang apa yang ada di sisi Allah itu akan kekal.
9. Takabbur, lantas aku menghadapinya dengan sifat tawadhu’.
10. Tamak, lantas aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesuatu yang ada pada manusia.
Di antara arahan yang dituntut oleh Islam sebagai suatu jalan untuk mengelakkan diri daripada panah dan tipudaya Iblis ialah mengingati Allah sewaktu mula melakukan semua kerja. Dalam hubungan ini Abu Hurairah telah meriwayatkan bahawa syaitan bagi orang-orang mukmin telah bertemu dengan syaitan bagi orang-orang kafir. Tiba-tiba kedapatan bahawa syaitan bagi orang kafir itu dalam keadaan yang gemuk muntal, sedangkan syaitan bagi orang mukmin itu kurus kering dan dalam keadaan dukacita, lantas syaitan orang kafir itu bertanya kepada syaitan kepada orang mukmin:
“Kenapa kamu kurus kering dan dukacita.” Syaitan orang mukmin itu menjawab : “Aku mendampingi seorang lelaki untuk menggodanya. Apabila lelaki itu hendak makan beliau menyebut nama Allah, jadi aku terus lapar. Apabila minum beliau menyebut nama Allah, jadi aku terus kehausan. Apabila beliau memakai pakaian beliau menyebut nama Allah, dengan itu aku terus bertelanjang. Apabila beliau memakai minyak rambut beliau menyebut nama Allah, dengan itu rambutku terus kering dan kusut.” Syaitan orang kafir itupun menjawab : “Tetapi aku mendampingi seorang yang tidak melakukan sedikit pun daripada apa yang engkau sebutkan itu. Oleh itu aku berkongsi dengannya pada makanannya, minuman dan pakaiannnya.”
Termasuk juga dalam perkara yang dapat dijadikan sebagai kubu pertahanan ialah menjauhkan makan terlalu banyak, bermewah-mewah sekalipun halal dan bersih.
Rasulullah S.A.W. pula bersabda:
“Sesungguhnya syaitan itu berlari dalam diri anak Adam seperti mengalirnya darah, oleh itu sempitkanlah laluan syaitan dengan berlapar.”(Hadith riwayat Ahmad dan Bukhari)
Di antara benteng-benteng tersebut juga ialah membaca al-Qur’an, berzikir dan beristighfar kerana Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
“Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya di atas hati anak Adam. Apabila beliau (anak Adam) berzikir syaitan itu akan berundur dan apabila beliau lupa kepada Allah syaitan itu akan mengunyah hatinya.”
Di antara benteng-benteng ini juga ialah menjauhi sifat tergesa-gesa dan sentiasa bersifat hati-hati dalam semua perkara kerana Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Terburu-buru itu dari syaitan dan hati-hati itu dari Allah.” (Hadith riwayat Ibn Abi Shaibah, Abu Ya’la dan al-Baihaqi. At-Tirmidhi meriwayatkan hadith sepertinya dan al-Albani mengatakan sanadnya hassan.)
SUMBER: APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM? OLEH AL-USTAZ FATHI YAKAN
untuk diriku dan dirimu..(",)
0 comments:
Post a Comment