Tazkirah: 3 Cerita

Thursday, November 19, 2009







Kisah-1

Ketika belajar diUniversiti Kebangsaan Malaysia , Salleh (bukan nama sebenar) telah bertemu jodoh dengan isterinya Siti Rahmah (bukan nama sebenar). Salleh mengambil jurusan kejuruteraan manakala Siti Rahmah Mengambil bidang perakaunan. Sekarang mereka telah 15 tahun berkahwin Dan Dikurniakan Allah dengan 7 orang anak. Beberapa bulan yang lepas saya Berkunjung ke rumah Salleh di Kajang. Kebetulan pada pagi Ahad itu selepas Solat Subuhdi Masjid Kajang saya bertemu dengan Salleh. Dia terus mengajak Saya ke rumahnya. Dia menyewa rumah teres setingkat tidak jauh dengan Masjid.

Saya mengenalinya sejak hampir 10 tahun yang lalu.Pagi itu tidak sedar Kami telah berbual-bual hampir lima jam. Saya ingin berkongsi tentang Keluarga Salleh ini yang pada saya satu contoh keluarga yang mendapat Keberkatan Allah.

1.. Salleh bekerja makan gaji Dan pendapatan bersihnya sebulan kurang dari RM3000.
2. Isterinya adalah anak sulung, walaupun berkelulusan ijazah namun menjadi Suri rumah sepenuh masa atas kehendak Salleh. Sebagai penghargaan kerana Isterinya sanggup tidak bekerja, Salleh memberikan RM300 sebulan kepada Ibu-bapa mertuanya setiap bulan.
3. Di samping itu Salleh juga memberi kepada ibunya di kampung RM200 Sebulan. Bapa Salleh telah meninggal dunia.
4. Dia memiliki Toyota Unser dengan ansuran RM500 sebulan.
5. Dia membayar rumah sewa RM400 sebulan.
6. Di rumahnya serba lengkap dengan perabot (TV, Peti Sejuk, Mesin Basuh, Set Sofa) serta teratur Dan kemas.
7. Pelik tetapi benar, bil elektrik di rumahnya kurang dari RM20 sebulan. Sedangkan jirannya tidak pernah kurang dari RM60. TNB dah buat pemeriksaan Bahawa meter di rumahnya tidak rosak. Begitu juga dengan bil air kurang Dari RM10 sebulan..
8. Empat orang anaknya dihantar ke sekolah agama integrasi.
9. Bayangkan dia boleh hidup dengan Selesa walaupun gajinya kecil jika di Nisbahkan dengan keluarganya yang agak besar.

Sejak berkawan dengannya Ada beberapa perkara yang saya lihat jadi amalan Dia yang patut di contohi;

1. Solat Dhuha menjadi amalan hariannya walaupun ketika pergi outstation
2. Solat Istikharah menjadi suatu amalan walaupun nak membeli benda yang Kecil seperti nak membeli mesin basuh.
3. Sering membaca Surah Al-Waqiah
4. Tidak terlibat langsung dengan sistem Riba . Dia menggunakan Kredit Kad Bank Islam.. Pinjaman kereta pun menggunakan sistem pinjaman Islam.
5. Buat baik kepadaIbu bapa Dan Ibu Bapa mertuanya ...
6. Suka menolong orang Dan memberi derma
7. Semua anak-anaknya mempunyai akhlak yang baik Dan jarang kena sebarang Penyakit.
8. Dia dah empat tahun menggunakan Toyota Unser, sekali pun tidak pernah Rosak atau menyusahkan nya.
9. Segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah Dan cepat.

Kisah-2

Ketika saya bujang dahulu saya sering menziarahi kawan saya, Norizam (bukan Nama sebenar) yang tinggal di Masai Johor. Pada Hari Ahad itu saya sampai Di rumah Norizam selepaswaktu Asar. Norizam memperkenalkan Abang dia, Rashid (bukan nama sebenar) yang baru sampai dari Kuala Lumpur . Rashid Berkunjung ke rumah Norizam kerana untuk menghadiri temuduga pada pagi Isnin di Johor Baru.

Kawan saya Norizam ini, dalam beberapa hal dia tidak berpuas hati dengan Abangnya. Kadang kala saya tidak suka mendengar dia merungut tentang Abangnya. Petang itu Norizam merungut lagi iaitu abangnya datang untuk Temuduga kerja sebagai Pengurus Besar (General Manager). Gaji Rashid Sekarang ialah RM10,000 sebulan. Katanya tidak mencukupi. Dia akan minta gaji sebanyak RM14,000 sebulan untuk tempat baru ini.

Saya pun berasa hairan gaji RM10,000 sebulan tidak mencukupi sedangkan Hanya mempunyai dua orang anak sahaja. Beberapa tahun kemudian baru saya Tahu kenapa gaji abangnya RM10,000 tidak mencukupi.. Ini Ada kaitan dengan Tiada keberkatan hidup.

Perkara-perkara yang pada pandangan saya menyebabkan Rashid jadi susah Ialah seperti berikut;

1. Banyak sangat terlibat dengan sistem Riba . Pinjaman Kereta, Kad Kredit, PinjamanRumah, Akaun Simpanan semuanya Sistem Konvensional (Riba)
2. Menggunakan banyak kad kredit konvensional kemudian bayar pokok sahaja. Bermakna memakan riba yang berterusan.
3. Sering bertukar kereta sebab kereta selalu bermasalah walaupun kereta Baru (Masalah kena curi Dan kemalangan jalan raya)
4. Sering bertengkar dengan isteri.
5. Isteri sering masuk hospital kerana penyakit misteri.
6. Anak perempuan sulungnya yang di tingkatan tiga kenatangkap basah.
7. Suka menengking jika Ada orang mintak derma.
8. Soal sembahyang lima waktu dipandang sebelah Mata sahaja.

Kedua-dua kisah ini adalah sesuatu yang lumrah berlaku di sekeliling Kita. Kadang kala Kita tidak sedar langsung atau tidak menghiraukan langsung Untuk mencari keberkatan hidup.


Kisah 3

Saya hanya nak sampaikan sebuah cerita yang saya dapat, yang membuatkan hati saya amat tersentuh. Cerita ini saya dapati selepas menghadiri sebuah usrah umum di tempat saya baru-baru ini. Ustazah yang menceritakan ini sekarang mengajar di KISAS.

Ceritanya begini...

Suatu hari, seorang ustazah travel, Dia singgah di rumah seorang sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah guru biasa. Sisuami seorang guru penolong kanan. Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengahari tapi belum zohor. Kedua-dua suami isteri ini masih di sekolah. Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka yang ke semuanya lelaki yang mana yang paling tua dalam tingkatan satu & yang paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah. Waktu zohor masuk, abang yang tua mengajak semua adik-adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai imam.

Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpabertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu' dan solat bersama jemaah, ia ikut ruku' apabila imam ruku'. Dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam,dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal. Subhanallah. .. adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk... ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa taatnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-suruh. Cerita tak berakhir di situ.

Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu. Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik airdilihatnya anak-anak kecil sedang sibuk ambil wudhu'. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun dan yang ke tujuh ntah berapa tahun sibuk mengambil wudhu' di bilik air di waktu subuh paling awal. Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir.

Mereka solat jemaah sekeluarga (termasuk ustazah). Sewaktu hendak mula solat,si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi (yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat. Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ.

Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, "Anak-anak.. . hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa... ". Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan.

Subhanallah. ... bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya? Dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu.. Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki...Pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman... cuba kita tanya diri kita sendiri...

-Berapa ramai keluarga Islam hari ini yang dapat mengamalkan solat jemaah dalam keluarga ???
-Berapa ramai anak-anak Islam berumur 8 tahun yang pandai solat masbuk???
-Berapa ramai anak-anak berumur 13 tahun yang pandai mengimami solat memimpin adik-adik mereka ???
-Berapa ramai ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka sedemikian rupa yang taat melaksanakan perintah ALLAH tanpa suruhan dan pengawasan mereka yang lebih dewasa ???



Subhanallah. .. Alhamdulillah. .. moga apa yang saya sampaikan ini menjadi pedoman dan iktibar buat kita semua... wsslm





Salam Semanis Iman

Read more...

Cahaya

Sunday, November 15, 2009

 
CAHAYA
 
Indah bintang di langit
Sejahteralah bumi 
Nur kasih yang terpancar
Kebesaran ciptaMu

Di sini ku temui
CahayaMu Ilahi
Membuka pintu hati
Ke jalan kebenaran

CahayaMu penuh kemuliaan
CahayaMu penuh kasih dan sayang
Memimpin kami menjulang panji
Berbalas senyum dalam redha

Mengajar ertinya ketaqwaan
Mengajar ertinya ketabahan
Memutih hati yang kian rawan
Penawar jiwa yang melara

Biarpun mata terpejam
Kasih tetap di hati
Terukir peribadi
Segirang matahari
Memancar hati sanubariku.. Berseri
Menerangi

Tak terputus kalimah
Sekilasnya cahaya
Segalanya kudratku
DariMu.. Ya Allah
Memberi jalan yang diredhai oleh Mu
Penyuluh di malam hari

Read more...

Kewajipan Seorang Muslim

Sunday, November 8, 2009



Sebagai satu checklist tentang kewajipan al-akh Muslim yang berintimak dengan gerakan Islam seperti yang ditentukan oleh as-Syahid Ustaz Hassan al-Banna dalam Risalah Taalim :

Kata-kata Ustaz Hassan al-Banna: "Saudaraku yang jujur, keimananmu terhadap bai'ah ini mewajibkan saudara menunaikan kewajipan-kewajipan berikut, sehingga dengan menunaikan kewajipan-kewajipan ini saudara telah menjadi seketul bata yang kuat dalam proses pembinaan ini :

  1. Hendaklah saudara mempunyai wirid tertentu dari al-Qur'an, tidak kurang dari satu juzuk setiap hari. Hendaklah saudara mengkhatamkan al-Qur'an tidak lebih dari masa sebulan dan tidak kurang dari tiga hari.
  2. Hendaklah saudara mengelokkan bacaan al-Qur'an, mendengar al-Qur'an dan mengambil pengajaran dari al-Qur'an. Hendaklah saudara mengkaji sejarah Rasulullah S.A.W. dan sejarah orang-orang Islam yang terdahulu sekadar keluangan waktu saudara. Paling kurang hendaklah saudara membaca buku "Humatul Islam". Hendaklah saudara banyak membaca hadith Rasulullah S.A.W. dan menghafaz sekurang-kurangnya 40 hadith, sebaik-baiknya 40 hadith itu ialah hadith susunan Imam Nawawi. Hendaklah saudara mengkaji risalah usul 'aqidah dan risalah cabang hukum Fiqh.
  3. Hendaklah saudara bersegera memeriksa kesihatan saudara secara umum dan mengubati penyakit yang ada pada saudara.Hendakalah saudara mengambil berat tentang soal-soal kekuatan tenaga saudara, menjaga tubuh badan, dan menjauhi sebab-sebab yang membawa kelemahan kesihatan saudara. 
  4. Janganlah saudara berlebihan minum kopi, teh dan lain-lain minuman yang merangsang. Hendaklah saudara jangan merokok sama sekali.
  5. Hendaklah saudara menjaga kebersihan dalam semua perkara, tempat tinggal, pakaian, makanan, anggota dan tempat kerja. Sesungguhnya Islam dibina di atas kebersihan.
  6. Hendaklah saudara benar dalam percakapan.Jangan berdusta sama sekali.
  7. Hendaklah saudara menunaikan janji dan mengotakan apa yang saudara perkatakan.Jangan saudara menyalahinya walau bagaimana keadaan saudara.
  8. Hendaklah saudara bersifat berani dan luas pandangan.Keberanian yang paling mulia ialah berterus-terang demi hak dan kebenaran, menyimpan rahsia, mengaku kesalahan, menginsafi diri dan menahan diri dari kemarahan.
  9. Hendaklah saudara bersifat serius dan mengutamakan kesungguhan, tetapi keseriusan saudara tidaklah menghalang saudara dari bergurau dengan gurauan yang benar dan senyum ketawa yang tidak melampau.
  10. Hendaklah saudara bersifat pemalu, halus perasaan, sensitif terhadap perkara-perkara baik dan jahat dengan merasakan gembira melihat kebaikan dan dukacita melihat kejahatan. Hendaklah saudara menuntut martabat kedudukan atau pangkat yang lebih rendah dari martabat yang sepatutnya saudara terima demi untuk mencapai martabat saudara yang sebenar.
  11. Hendaklah saudara berlaku adil, menghukum dengan yang sebenarnya dalam semua hal. Kemarahan saudara jangan sampai melupakan kebaikan orang, demikian juga keredaan saudara jangan sampai melupakan kejahatan orang lain. Permusuhan saudara jangan sampai melupakan kebaikan orang. Saudara mestilah berkata benar sekalipun terhadap diri saudara dan orang yang paling hampir dengan saudara, sekalipun perkara itu pahit bagi saudara.
  12. Saudara mestilah cergas, melatih diri memberikan khidmat umum. Saudara mestilah merasa bahagia apabila dapat memberikan khidmat kepada orang lain, oleh itu saudara hendaklah menziarahi pesakit, menolong orang yang berhajat, membantu orang yang lemah, memujuk dan menangkan mereka yang ditimpa kemalangan sekalipun dengan perkataan yang baik dan saudara mestilah sentiasa bersegera melakukan kerja-kerja kebajikan.
  13. Saudara mestilah bersifat belas kasihan, pemurah dan pengampun. Saudara hendaklah mengampun dan memaafkan, berlembut dan lemah lembut. Saudara hendaklah belas kasihan kepada manusia dan haiwan, baik hubungan dengan orang ramai, menjaga adab sopan masyarakat Islam; dengan itu saudara mestilah berlembut dengan orang yang lebih muda, menghormati orang yang lebih tua, melapangkan tempat duduk dalam masjid,jangan mengintip rahsia, jangan mencerca dan mengutuk, minta izin waktu masuk dan keluar dan lainnya.
  14. Saudara seharusnya cekap membaca dan menulis.Saudara hendaklah membanyakkan membaca dan meneliti risalah Ikhwan Muslimin, akhbar dan majalah lainnya. Hendaklah saudara menyediakan Khutub Khanah khas untuk saudara sekalipun kecil. Saudara mestilah meluaskan ilmu mempertingkatkan pengkhususan saudara sekiranya mempunyai pengkhususan dalam satu-satu bidang. Saudara juga mestilah memahami masalah-masalah Islamiyah secara umum dengan kefahaman dan membolehkan saudara menggambarkan permasalahan itu dan menentukan hukumnya sesuai dengan tuntutan fikrah kita.
  15. Saudara mestilah melakukan kerja-kerja iktisad yang mendatangkan hasil kemasukan wang walau bagaimanapun kekayaan saudara. Mengutamakan kerja-kerja bebas sekalipun kecil pendapatannya, menaruh minat kepada pekerjaan itu walau setinggi mana kelulusan saudara.
  16. Jangan mengutamakan jawatan kerajaan. Saudara mestilah menganggap jawatan kerajaan itu sebagai satu sumber rezeki yang sempit, tetapi saudara jangan menolaknya jika diberi peluang dan jangan saudara meletakkan jawatan itu kecuali ianya benar-benar bertentangan dengan kewajipan dakwah.
  17. Saudara mestilah sungguh-sungguh menunaikan tugas-tugas saudara dengan berusaha memperelok dan memperkemaskannya, menjaga masa dan jangan menipu.
  18. Saudara mestilah menerima hak saudara dengan baik, menyempurnakan hak orang lain dengan tidak kurang, tidak payah diminta dan jangan melambat-lambatkannya sama sekali.
  19. Saudara mestilah menjauhi riba dalam semua urusan dan membersihkan diri saudara dari riba.
  20. Saudara mestilah menjauhi segala jenis perjudian walau bagaimanapun tujuan di sebaliknya, menjauhi punca-punca pencarian yang haram walau bagaimanapun besar dan cepatnya keuntungan dari punca-punca itu.
  21. Saudara mestilah memberi khidmat kepada kekayaan Islam secara umum dengan menggalakkan industri dan perbadanan-perbadanan ekonomi Islam. Saudara mestilah berhati-hati benar supaya satu sen pun wang saudara tidak jatuh ke tangan orang bukan Islam walau bagaimanapun keadaan saudara. Jangan saudara pakai dan makan kecuali barang pengeluaran negara Islam.
  22. Saudara mestilah mempunyai saham dalam dakwah dengan memberikan sebahagian dari harta saudara. Saudara mestilah menunaikan zakat, jadikanlah zakat itu sebagai hak yang tertentu bagi mereka yang berhak walau bagaimanapun kecilnya pendapatan saudara.
  23. Saudara mestilah menyimpan sebahagian dari pendapatan saudara untuk masa-masa kecemasan sekalipun sedikit dan jangan sekali-kali saudara berlebihan dalam perkara-perkara mewah.
  24. Saudara mestilah bekerja sekadar yang upaya untuk menghidupkan adat-istiadat dan kebudayaan Islam dan menghapuskan kebudayaan kuning dalam kehidupan saudara yang zahir. Sebahagian dari adat-adat itu ialah salam, bahasa,sejarah, pakaian,perabot, masa kerja dan rehat, makan minum, adat sewaktu datang ziarah dan permisi, adat waktu kegembiraan dan kedukaan dan lain-lainnya. Saudara mestilah mengikut sunnah dalam semua hal ini.
  25. Saudara mestilah memulaukan mahkamah-mahkamah tempatan dan semua mahkamah yang tidak bercorak Islam. saudara mestilah memulaukan akhbar-akbar,majalah, kelab-kelab, perhimpunan-perhimpunan, sekolah-sekolah dan pertubuhan-pertubuhan yang bertentang dengan fikrah Islamiyah.
  26. Saudara mestilah sentiasa ingatkan Allah, hari akhirat dan bersedia untuk menghadapinya. Saudara mestilah mengikuti jalan mencari keredhaan Allah dengan himmah dan azam yang tinggi. Saudara mestilah menghampirkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadat-ibadat yang sunat seperti sembahyang waktu malam, puasa paling kurang tiga hari sebulan, membanyakkan zikir dalam hati dan lisan. Saudara mestilah memilih doa-doa maasur, yang pernah dibuat oleh Rasulullah S.A.W. dalam semua keadaan.
  27. Bila saudara bersuci, saudara mestilah menyempurnakan syarat rukunnya dan saudara mestilah sentiasa dalam keadaan berwudhuk.
  28. Saudara mestilah menyempurnakan syarat dan rukun sembahyang dan sentiasa menunaikannya dalam waktunya.
  29. Saudara mestilah berpuasa dalam bulan Ramadhan, menunaikan haji jika upaya dan saudara mestilah melakukannya sekarang jika saudara berkuasa.
  30. Saudara mestilah sentiasa berniat untuk berjihad, ingin mati syahid dan membuat persediaan untuk tujuan tersebut sedaya yang boleh.
  31. Saudara mestilah sentiasa memperbaharui taubat dan istighfar, menjauhi dosa-dosa kecil lebih-lebih lagi dosa-dosa besar. Saudara mestilah menentukan satu masa yang khas sebelum tidur untuk saudara menghisab segala buruk baik yang telah saudara lakukan. Saudara mestilah menjaga masa, kerana masa itulah hidup. Jangan saudara menggunakan sedikitpun masa saudara untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah. Saudara mestilah bersifat warak, menjauhi perkara-perkara syubhat supaya saudara tidak terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram.
  32. Saudara mestilah melawan nafsu saudara sekeras-kerasnya sehingga mudah bagi saudara mengendalikannnya. Saudara mestilah menutup pandangan saudara dari melihat perkara yang mungkar, melawan perasaan, melawan dorongan naluri dalam diri saudara. Saudara mestilah mengangkat taraf saudara melalui naluri saudara dengan mengarahkannya kepada perkara-perkara yang baik dan halal. Saudara mestilah menjauhkan naluri saudara dari perkara-perkara haram, bila dan di mana sahaja.
  33. Saudara mestilah menjauhi arak dan bahan-bahan yang memabukkan dan yang seumpamanya.
  34. Saudara mestilah menjauhkan diri dari mendampingi rakan-rakan yang jahat dan kawan-kawan yang rosak akhlaqnya. Saudara mestilah menjauhi tempat-tempat maksiat dan dosa.
  35. Saudara mestilah memerangi tempat-tempat hiburan apa lagi mendekatinya. Saudara mestilah menjauhi perkara zahir yang menunjukkan kemewahan, boros dan bongkak.
  36. Saudara mestilah benar-benar mengenali anggota kumpulan saudara seorang demi seorang dan memperkenalkan diri saudara kepada mereka, demikian juga saudara hendaklah menunaikan hak-hak persaudaraan dengan sempurnanya dan dengan rasa kasih sayang, menghargai, tolong-menolong, mengutamakan orang lain dan saudara mestilah hadir dalam perhimpunan-perhimpunan mereka, jangan saudara ketinggalan kecuali dengan keuzuran yang tidak dapat dielakkkan di samping saudara sentiasa mengutamakan mereka dalam pergaulan dan perhubungan saudara.
  37. Saudara mestilah memutuskan hubungan saudara dengan mana-mana pertubuhan atau mana-mana perhimpunan yang tidak ada hubungan dengan maslahat fikrah saudara lebih-lebih lagi bila saudara diperintahkan berbuat demikian.
  38. Saudara mestilah bekerja menyebarkan dakwah kita di mana-mana sahaja. Saudara mestilah memberitahu pucuk pimpinan tentang keadaan dan hal-hal yang melingkungi saudara dan jangan saudara melakukan sesuatu amal yang akan memberi kesan dan menjejaskan perkara-perkara asasi pada pucuk pimpinan kecuali setelah mendapat izin. Saudara mestilah sentiasa melakukan hubungan roh dan amal dengan pucuk pimpinan. Saudara mestilah menganggap diri saudara sebagai seorang tentera dalam suasana tegang yang sentiasa menungggu perintah."


'ala kulli hal, moga kita dapat check balik diri kita sama ada sudah atau belum kita penuhi kewajipan-kewajipan itu. Moga kita upaya membaiki diri kepada menjadi tentera Allah yang sejati.Bi iznillah.

Sumber : Apa Ertinya Saya Menganut Islam? oleh al-Ustaz Fathi Yakan.

Barakallahu fikum..

Salam Semanis Iman

Read more...

Bai'ah dan Rukun-rukunnya Menurut Hassan al-Banna

Sunday, November 1, 2009




Pengenalan Bai'ah

Baiah ialah perjanjian untuk memberi ketaatan. Orang yang berbaiah ialah seolah-olah ia membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada amir atau ketuanya. Ia tidak akan melanggar kepada janji-setianya terhadap amir dalam urusan tersebut malah ia mestilah mentaati apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sama ada ia suka ataupun ia benci asalkan ianya tidak bertentangan dengan Islam.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Junadah bin Abu Umayyah dari 'Ubadah bin Al-Samit yang menyatakan: "Rasulullah s.a.w telah memanggil kami, lalu kami pun memberi baiah kepada baginda... kemudian 'Ubadah berkata: "Di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; Kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah s.a.w) dalam perkara yang kami sukai dan kami benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap ketua dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas." (Dari Sahih Al-Bukhari-Bab Al-Fitan)
Dalam bukunya "Fi Al-Din Al-Khalis" Sadiq hasan Khan berkata: "Di dalam hadis ini terdapat dalil bahawa tuntutan berbaiah ke atas para sahabat adalah satu sunnah, demikian juga baiah yang diberikan oleh para sahabat kepada Rasulullah s.a.w adalah sunnah. Menunaikan adalah wajib manakala mencabulinya adalah maksiat."

Di dalam tafsirannya terhadap hadis ini Ibnu Hajar menyatakan: "Dalam keadaan yang kita sukai atau dalam keadaan yang kita benci, iaitu dalam keadaan kita merasa cergas (serta bersemangat) dan dalam keadaan kita merasa lemah untuk melakukan apa yang diperintahkan". Al-Daudi pula berkata: "Maksudnya ialah sesuatu yang kamu membencinya." Manakala Ibn Al-Tin pula berkata: "Yang jelas apa yang dimaksudkan ialah pada waktu malas dan kesusahan." (Fathul-Bari Jil 13, ms 6)



Abnul Juzi Al-Maliki pula berkata: "Kita tidak harus menentang kerajaan (yakni kerajaan Islam) sekalipun (pimpinannya) melakukan kezaliman sehinggalah ternyata pada mereka kekufuran yang jelas, ketaatan mestilah diberikan kepada mereka sama ada dalam perkara yang disukai mahupun dibenci kecuali mereka memerintahkan supaya mengerjakan maksiat, maka dalam keadaan demikian tidak ada ketaatan kepada makhluk yang bermaksiat kepada Allah." (Qawaniyyah Fikhiyyah 14)

Rukun-rukun Bai'ah

Bergabung dengan Harakah Islamiah pada hakikatnya bermaksud bergabung secara langsung atau amalan di dalam Islam. Ia merupakan permulaan perjanjian baru dengan Allah dan memberikan baiah untuk beramal dan berjihad pada jalan-Nya.

Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah merumuskan tentang rukun-rukun baiah dengan berkata:
"Rukun baiah kita semuanya sepuluh, peliharalah ia dengan sebaik-baiknya".

1. Faham.
2. Ikhlas.
3. Amal.
4. Jihad.
5. Berkorban.
6. Taat.
7. Tetap Pendirian.
8. Tegas.
9. Persaudaraan.
10. Percaya.

Kemudian Imam Hassan Al-Banna mentafsirkan rukun-rukun di atas satu persatu. Beliau menyatakan:

1. Faham:








Hendaklah saudara meyakini bahawa fikrah kita adalah fikrah Islamiah yang sejati dan hendaklah saudara memahami Islam sebagaimana kami (para pemimpin) memahaminya berdasarkan usul dua puluh (prinsip) yang ditetapkan. Kami ringkaskan prinsip-prinsip tersebut adalah sebagaimana berikut:











1.1- Hendaklah saudara memahami bahawa Islam adalah satu sistem yang lengkap (syamil) mencakupi seluruh bidang kehidupan.
1.2- Hendaklah saudara memahami bahawa Al-Quran dan Sunnah adalah sumber rujukan bagi setiap orang muslim dalam memahami segala hukum-hakam Islam.
1.3- Hendaklah saudara memahami bahawa iman yang benar, ibadat yang sah dan mujahadah merupakan cahaya kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
1.4- Hendaklah saudara memahami bahawa semua jenis tangkal, jampi, mantera, tilikan dan ramalan, mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, nujum atau apa sahaja yang seumpamanya adalah satu kemungkaran yang wajib diperangi kecuali jika jampi-jampi tersebut terdiri dari ayat-ayat Al-Quran dan doa yang ma'thur yang pernah dibuat oleh Rasulullah s.a.w.
1.5- Hendaklah saudara memahami bahawasanya pendapat Imam dan naibnya dalam perkara-perkara yang tidak ada nas yang jelas dan dalam masalah yang boleh ditafsirkan dengan lebih dari satu pentafsiran dan dalam perkara yang melibatkan maslahah mursalah, boleh diamalkan (dipegang) selama ia tidak berlawanan dengan kaedah-kaedah syarak.
1.6- Hendaklah saudara memahami bahawa sesungguhnya perkataan dari seseorang itu boleh diambil dan boleh ditolak kecuali perkataan Rasulullah s.a.w yang maksum.
1.7- Hendaklah saudara memahami bahawa bagi seseorang Islam yang taraf keilmuannya belum sampai ke peringkat mampu meneliti dalil-dalil hukum-hakam Syariat Islam maka hendaklah dia mengikuti salah seorang dari Imam-imam (mujtahid) dalam Islam.
1.8- Hendaklah saudara memahami bahawa perbezaan-perbezaan (pentafsiran dan pegangan) dalam hukum-hakam fekah dalam soal-soal cabang (furu') tidak harus dijadikan sebab perpecahan dalam agama.
1.9- Hendaklah saudara memahami bahawa perbincangan tentang masalah yang tidak mendatangkan hasil adalah termasuk di dalam erti takalluf (usaha yang memberatkan) yang ditegah oleh agama.
1.10- Hendaklah saudara memahami bahawa mengenali Allah Tabaraka Wa Taala, mentauhidkannya dan menyucikannya (dari segala sifat kekurangan) adalah setinggi-tinggi akidah Islam. Kita beriman dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Sahih tentang sifat-sifat Allah sebagaimana zahir ayat-ayat tanpa takwil dan juga tanpa membekukan nas-nas tersebut.
1.11- Hendaklah saudara memahami bahawa setiap amalan bidaah di dalam agama Allah (Islam), yang tidak ada asal-usulnya mestilah dihapuskan dengan cara yang paling bijak.
1.12- Hendaklah saudara memahami bahawa bidaah Idhafiyyah (yang ditokok-tambah), bidaah tarkiyyah (bidaah yang meninggalkan amalan yang sunnah) serta beribadat dengan cara tertentu di dalam ibadat-ibadat mutlak (khusus) adalah masalah khilafiah dalam fikah di mana setiap golongan mempunyai pendapatnya sendiri. Tidak mengapa jika dibincangkan dengan tujuan memberi kebenaran yang disertakan dengan dalil dan keterangan (bukti).
1.13- Hendaklah saudara memahami bahawa mengasihi orang-orang yang soleh menghormati mereka dan menyebut kebaikan-kebaikan mereka yang kita ketahui adalah satu sikap yang akan membawa kita bertambah dekat dengan Allah s.w.t.
1.14- Hendaklah saudara memahami bahawa menziarahi kubur walau bagaimana sekalipun keadaannya adalah suatu perkara sunnah yang disyariatkan mengikut apa yang dilakukano leh Rasulullah s.a.w.
1.15- Hendaklah saudara memahami bahawa berdoa kepada Allah yang diiringi dengan bertawassul kepada makhluknya yang tertentu (orang-orang soleh) adalah perkara khilafiah furu'ie tentang cara-cara berdoa. Ia bukanlah satu persoalan akidah.
1.16- Hendaklah saudara memahami bahawa adat-adat kebiasaan manusia yang salah tidak dapat mengubah pengertian hakiki dari lafaz syarak.
1.17- Hendaklah saudara memahami bahawa akidah (yang bersih) adalah asas segala amalan dan amalan hati adalah lebih penting dari tubuh-badan. Mencari kesempurnaan dalam kedua-dua bidang amal ini adalah dituntut oleh syarak sekalipun tuntutan itu berbeza-beza mengikut keadaan.
1.18- Hendaklah saudara memahami bahawa Islam memberi kebebasan kepada akal dan mendorongnya supaya memerhati dan mengamati rahsia-rahsia alam, malah Islam mengangkat darjat dan martabat ilmu dan para ulama (ilmuan) serta mengalu-alukan segala hasil kajian ilmiah yang memberi manfaat.
1.19- Hendaklah saudara memahami bahawa pandangan syarak dan pandangan akal ada kalanya kelihatan tidak seiring tetapi syarak dan akal tidak bercanggah dalam perkara yang qat'ie (telah jelas dengan dalil). Oleh itu hakikat ilmiah yang sah sekali-kali tidak akan bercanggah dengan kaedah syariat yang tetap. Apabila terdapat sesuatu penentangan maka perkara-perkara yang bersifat zanni (atau perkara-perkara yang pendapat akal biasa semata-mata) itu, hendaklah diulas dan ditakwilkan supaya sesuai dengan hakikat qai'ie, tetapi seandainya terdapat pertentangan di antara kedua-dua perkara yang bersifat zanni berlaku maka hendaklah diutamakan pandangan syarak dakal biasa dan pandangan syaraklah yang lebih patut disehinggalah peperkara zanni akal tadi benar-benar dapat dibuktikan kebenarannya. Jika tidak demikian maka gugurlah pandangan akal itu dengan sendirinya.
1.20- Janganlah saudara mengkafirkan seorang muslim yang berikrar dengan dua kalimah syahadat dan beramal dengan tuntutan-tuntutannya serta menunaikan perkara-perkara yang diwajibkan sama ada kerana ia berpegang kepada pendapat tertentu atau melakukan maksiat - kecuali ia sendiri berikrar dengan mengakui kekufuran atau melakukan sesuatu perbuatan yang tidak boleh ditakwilkan lagi kecuali dengan makna kufur.





2. Ikhlas.








Hendaklah seorang saudara muslim itu berniat bahawa segala perkataannya, pekerjaannya dan perjuangan jihadnya adalah kerana Allah dan untuk mendapat keredhaan-Nya dengan tidak mengharapkan keuntungan, pangkat kedudukan, kemegahan dan gelaran. Dengan niat yang ikhlas itu saudara akan menjadi seorang tentera (yang setia) kepada fikrah dan akidah bukan tentera yang tamakkan keuntungan dan kepentingan diri.





3. Amal.








Apa yang dimaksudkan dengan amal di sini ialah melakukan Islah (pembaikan) terhadap diri sendiri, membina rumah tangga muslim, membimbing masyarakat, membebaskan tanah air, membetulkan kerajaan sehingga benar-benar bersifat Islam, mengembelingkan kewujudan umat Islam di peringkat antarabangsa, menjadi petunjuk ajaran ke seluruh pelusuk dunia sehingga tidak ada lagi fitnah serta halangan dan agama ini seluruhnya berjalan kerana Allah semata-mata.





4. Jihad.








Jihad yang dimaksudkan di sini ialah kewajipan yang berterusan sejak dahulu hingga ke hari kiamat iaitu kewajipan yang dimaksudkan dalam sabda Rasulullah s.a.w:
Yang bermaksud:
"Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak pernah berperang dan pernah berniat untuk berperang bererti beliau mati dalam keadaan jahiliah".








5. Berkorban.








Berkorban bermakna mengorbankan jiwa-raga, harta-benda, masa, kehidupan dan segala sesuatu untuk tujuan mencapai matlamat.





6. Taat.








Taat bermaksud mematuhi perintah dan melaksanakannya di masa senang mahupun susah sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang dibenci.





7. Tetap Pendirian.








Tetap pendirian yang dimaksudkan ialah setiap orang dari kalangan saudara terus-menerus beramal dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat sekalipun memakan masa yang bertahun-tahun lamanya sehinggalah dia bertemu Allah dalam keadaan beramal dan berjihad. Dengan itu bermakna dia berjaya memperoleh salah satu dari dua kebaikan iaitu mencapai matlamat atau mati syahid.





8. Tegas.








Tegas atau tajarrud yang dimaksudkan ialah saudara membersihkan fahaman atau fikrah yang saudara bawa dari sebarang pengaruh prinsip-prinsip dan individu yang lain dari fikrah saudara kerana fikrah yang saudara dokong ini adalah fikrah yang tinggi lagi lengkap kerana Allah berfirman:
"Celupan Allahlah (yang lebih baik), siapakah yang lebih baik dari celupan Allah".
(Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).





9. Persaudaraan.








Persaudaraan yang dimaksudkan di sini ialah saudara mempertautkan ikatan hati-hati dan ruh-ruh saudara-saudara sekalian dengan ikatan akidah, kerana ikatan akidah itu merupakan ikatan yang paling kukuh dan paling berharga.





Kewajipan dan Tanggungjawab Ukhuwwah (Persaudaraan):


Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian Umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani - ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah - yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:





Yang bermaksud:


"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah satu tonggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sendi yang menghubungkan anggota masyarakat.

Harakah Islamiah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.

Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan jamaah, Islam telah menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.









1. Ukhuwwah (yang terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:

Yang bermaksud:
"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".

Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mengatakan:
"Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesusahan".

2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:
"Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini". (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).

3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".

4. Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

"Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya". (Hadis riwayat Muslim).

5. Ukhuwwah juga bererti kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

"Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari". (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

Yang bermaksud:

"Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)". (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:
"Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Ukhuwwah menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat". (Hadis riwayat Tirmizi).

Baginda juga bersabda:

Yang bermaksud:

"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". (Hadis riwayat Muslim).




10. Percaya.








Percaya atau thiqah di sini bermaksud kepercayaan seseorang tentera (jundi) yang mendalam terhadap kemampuan dan keikhlasan pimpinannya sehingga menimbulkan rasa kasih, menghargai, menghormati dan memberikan ketaatan yang penuh kepadanya.




Salam Semanis Iman

Read more...

Lokasi Pelawat

Kongsi