A::UGUTAN TERHADAP GMS:: Fantasi atau Realiti?
Wednesday, December 9, 2009
Menurut perspektif undang-undang, ana merasakan perlunya perkara ini diberikan komentar dan ulasan.
Assalamualaikum, salam hormat dan salam jihad..ISLAM 4 ALL. *-*
Menarik.
En. Isma baru memberi berita gembira bahawa tarikh menghantar assignment ditunda kepada 4 Januari 2010, yang membawa maksud peluang terbuka luas untuk ana post artikel tentang Ugutan Terhadap GMS dan untuk ana fokus pada Kertas Kerja Anjakan Paradigma Pendidikan Awal Kanak-kanak untuk Asia Pacific Conference tidak lama lagi. Empat mesej yang sama ana terima pada tengah hari ini. Kelas Entrepreneurship berakhir dalam keadaan hambar. Walau apapun, assignment HPA ana akan dilaksanakan kemudian, Allah membuktikan kasih-Nya.. dan memberi laluan untuk ana siapkan artikel ni.
Mesej yang ana terima;
“Empat orang aktivis GMS akan dihadapkan ke Prosiding Tatatertib pada 10 Disember 2009. Mereka didakwa kerana memperjuangkan kebajikan pelajar hingga menarik perhatian kerajaan negeri.”
Kecewa.
Kecewa kerana KUIS gagal memahami hasrat perjuangan GMS. Kecewa kerana ana merasakan tidak wajarnya hanya mereka yang dipanggil, seharusnya kesemua pendokong kuat GMS dipanggil sama termasuk diri ini.
Wahai Allah,
Naungi kasih-Mu buat empat sahabat seperjuanganku ini. Aamiin ya Rob..
GMS yang kami dokongi yang telah dikotor-kotorkan dengan pelbagai fitnah dan ugutan yang dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab semakin membelenggu kepala ahli-ahlinya. Tidak dinafikan bahawa di sana terdapat ramai yang sangat memberikan komitmen terhadap GMS dan ramai pula yang menyokong GMS, namun adakalanya hati-hati mereka mengalami kerisauan apabila menghadapi pelbagai ugutan dari banyak pihak.
Adik-adik pendokong dan penyokong Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) yang dikasihi,
Teguhlah dirimu di medan!
Kejayaan semanis madu memerlukan pengorbanan sepahit hempedu, yakinlah ikhwah dan akhowat fil Islam, tetapkanlah pendirian dan majulah bersama saf perjuangan membela mereka yang tertindas! Ayuh!
Ketahuilah para sahabat yang dirahmati Allah sekalian, antara ugutan yang biasa diterima ialah sekatan zakat, tindakan tata tertib, pembatalan praktikal dan sebagainya. Ini semua hanyalah mainan mulut semata-mata dan fantasi mereka.
GMS adalah sebuah organisasi mahasiswa yang bertindak secara vokal dalam menyuarakan tuntutan hak asasi dan keadilan untuk mahasiswa sejagat. Namun begitu, eksistensi GMS adalah bermatlamatkan perjuangan untuk menurunkan harga yuran KUIS yang membebankan. Susun atur gerak kerja GMS membuktikan bahawa GMS bukanlah organisasi yang tidak bermatlamat dan berperancangan. Perlulah difahami oleh semua sahabat bahawa kewujudan GMS adalah berdasarkan kesedaran yang memuncak untuk membela sahabat mahasiswa yang sedang dihimpit teknan akibat kekangan harga yuran yang tinggi.
Kematangan dan keberanian adalah dua sifat yang mesti ada bagi mereka yang bergelar mahasiswa. Mahasiswa seharusnya bijak berfikir, merencana, mengkaji dan sebagainya kerana mereka merupakan asset penting sesebuah negara. Mahasiswa adalah tunjang utama kepada pemimpin sesebuah negara. Secara sinonimnya, mahasiswa dan pemimpin negara tidak dapat dipisahkan. Rata-rata, pemimpin negara lahir dari pelbagai universiti dan mereka adalah bekas mahasiswa. Mahasiswa yang peka dan sayangkan negara mereka semestinya sering membuahkan idea untuk memajukan negara mereka. Mahasiswa yang matang tidak takut dan tidak teragak-agak untuk menegur pemimpin negara demi melihat kejayaan negara dari segenap sudut.
Nama GMS menjadi suatu ‘ fobia’ bagi mahasiswa yang bimbang kelancaran pembelajaran mereka di sini. Ini mengakibatkan penyokong GMS terbahagi kepada tiga keadaan berdasarkan tiga respon sikap mahasiswa KUIS terhadapnya. Pertama, menyertai secara sukarela kerana memahami apa yang diperjuangkan. Kedua, menyertai dalam keadaan berhati-hati kerana takut diperhatikan. Ketiga, tidak mahu menyertai kerana bimbang akan risiko yang mendatang.
UGUTAN BERKENAAN PERHIMPUNAN AMAN
Dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, iaitu Kebebasan Bercakap, Berhimpun dan Menubuhkan Persatuan menggariskan: Fasal (2) b, Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan bahawa rakyat Malaysia berhak berhimpun secara aman dengan tidak bersenjata. Justeru, sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, mana-mana mahasiswa berhak dan bebas untuk menyertai mana-mana persatuan seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, terdapat banyak perhimpunan aman mahupun demonstrasi yang pernah berlaku di Malaysia seperti mana yang telah berlaku di beberapa institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Semua perhimpunan ini berlaku dengan aman melainkan apabila munculnya gangguan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah mengakibatkan tercetusnya huru-hara.
UGUTAN BERKENAAN TINDAKAN TATATERTIB (DIBUANG KOLEJ)
Tindakan tata tertib tidak boleh dikenakan terhadap mahasiswa yang mendokong perjuangan GMS. Ini adalah kerana Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) jelas tidak terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Justeru, Perkara 7, Peraturan Tatatertib Pelajar-pelajar KUIS sama sekali melebihi had kuasa dan sangat bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Maka, secara kesimpulannya, segala apa yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal secara automatik. Seperti yang diketahui umum, perhimpunan aman yang dianjurkan GMS bukanlah demostrasi yang bersifat ganas dan mencetuskan huru-hara. Sebaliknya, ia hanyalah perhimpunan aman bagi mengumpulkan seluruh suara mahasiswa KUIS bagi menyatakan pendirian mereka dalam mendesak pihak pengurusan menurunkan kadar yuran yang semakin membebankan para mahasiswa.
UGUTAN BERKENAAN PEMBATALAN TAWARAN PRAKTIKAL
Selain itu, kebimbangan mahasiswa terhadap pembatalan tawaran praktikal di kalangan pelajar tahun akhir juga hanyalah omongan kosong daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Bahkan, kebimbangan ini hanyalah sekitar khabar angin tanpa sebarang bukti yang sah di kalangan mereka yang terbabit. Sememangnya demonstrasi Palestin yang diadakan di KUIS tidak lama dahulu tidak dipertikaikan. Justeru, seharusnya tiada perbezaan terhadap isu yuran yang domestik ini.
Selain daripada itu, tiada sesiapa boleh melakukan pembatalan praktikal sesuka hati seperti mana yang dijelaskan dalam perjanjian yang ditandatangani yang mana langsung tidak menyatakan larangan menyertai GMS sebagai syarat. Ketahuilah sahabatku, perjanjian ini dikawal di bawah Akta Kontrak 1950, melalui Seksyen 2(h) mentakrifkan satu kontrak sebagai “ satu persetujuan yang boleh dikuatkuasakan undang-undang”.
UGUTAN BERKENAAN SEKATAN ZAKAT
Ugutan dikenakan sekatan zakat tidak seharusnya dilakukan oleh mereka yang memahami undang-undang Malaysia dan tahu tentang ilmu Syariah Islamiyah. Hakikatnya, zakat dan pembahagiannya tertakluk di bawah undang-undang Allah s.w.t. Golongan yang mengugut untuk mengenakan sekatan zakat ini adalah mereka yang langsung tiada hak, malah melanggar peraturan yang telah digariskan oleh Majlis Agama Islam bergantung kepada negeri terbabit. Di dalam Perkara 11 (1), Perlembagaan Persekutuan, menyatakan bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya. Justeru, para sahabat yang dikasihi Allah sekalian, urusan zakat sudah semestinya di bawah seliaan Majlis Agama Islam Negeri. Mereka yang tidak terbabit dalam jawatankuasa ini langsung tiada hak menyekat atau memotong bantuan zakat tersebut, melainkan dia sendiri telah melanggar undang-undang.
UGUTAN SEKATAN BANTUAN/ BIASISWA
Kebiasaannya, masalah yang timbul adalah berkaitan kebimbangan penyokong GMS terhadap sekatan bantuan atau biasiswa khususnya bagi pelajar yang mendapat biasiswa. Ini adalah jelas merupakan ketidaksamarataan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang mana ia bercanggah dengan Perkara 12 (1), Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan: bahawa Dengan Tidak menyentuh keluasan makna Perkara 8, tidaklah boleh ada pembezaan terhadap mana-mana jua warganegara semata-mata oleh sebab ugama, kaum, keturunan atau tempat lahir-
(a) dalam pentadbiran mana-mana yayasan pelajaran yang disenggara oleh sesuatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, tentang kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau tentang bayaran; atau
(b) tentang memperuntukkan bantuan kewangan dari wang sesuatu pihak berkuasa awam untuk menanggung murid-murid atau untuk pelajaran murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana yayasan pelajaran.
Selain daripada itu, tiada sesiapa boleh melakukan sekatan bantuan sesuka hati seperti mana yang dijelaskan dalam perjanjian yang ditandatangani yang mana langsung tidak menyatakan larangan menyertai GMS sebagai syarat. Ketahuilah sahabatku, perjanjian ini dikawal di bawah Akta Kontrak 1950, melalui Seksyen 2(h) mentakrifkan satu kontrak sebagai “ satu persetujuan yang boleh dikuatkuasakan undang-undang”.
UGUTAN DIKENAKAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG
Mereka yang mendokong dan menyokong GMS sama sekali tidak akan dikenakan tindakan undang-undang kerana ia hanyalah sebuah ilusi yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu. Malah, setiap warganegara Malaysia berhak dan bebas mendapatkan perlindungan undang-undang seperti yang terkandung di dalam Hak Asasi Warganegara (e) yang menggariskan bahawa: Undang-undang sahaja yang berhak menentukan keselamatan seseorang itu, bukanlah individu yang langsung tiada autoriti di dalam hal ini. Hakikatnya, mereka yang cuba mengugut dengan tindakan undang-undang hanyalah bermain dengan kata-kata yang bertujuan menakut-nakutkan mahasiswa daripada menyertai dan memberi komitmen terhadap GMS.
UGUTAN MERUPAKAN SALAH SATU KESALAHAN
Perkara 8(1), Sama Rata, menjelaskan bahawa setiap orang berhak mendapat kesamarataan di dalam undang-undang. Walau bagaimanapun, Perkara ini langsung tidak dititik beratkan oleh mereka yang cuba menyekat aktiviti dan penyokong GMS.
Sepertimana yang telah ditekankan di atas, Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 10 pula menjelaskan tentang kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan. Antara ceraian daripada Perkara 10 (1) ialah:
(a) tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran;
(b) semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata;
(c) semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan.
Dengan sebab-sebab inilah, pendokong dan penyokong GMS tidak seharusnya merasa tergugat dan merasa terancam dengan ugutan yang tidak berasas ini.
Kesimpulannya, para pendokong dan penyokong GMS tidak sepatutnya diugut dengan pelbagai omokan juga provokasi kerana ia tidak menyalahi undang-undang dan hanya bersifat fantasi (mainan mulut). Ia tidak mungkin dikenakan kepada jentera GMS dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya melainkan ia hanyalah kata-kata untuk melemahkan GMS sendiri. Pada hakikatnya segala ugutan tersebut tiada.
Jati diri mahasiswa
Biarpun, ugutan demi ugutan terus berjalan, tetapi bagi mahasiswa yang yakin, mereka akan terus menjalankan aktiviti mereka tanpa ada rasa ragu dan takut.
Sahabatku,
Memperjuangkan kebenaran ibarat air yg mengalir, walaupun disekat dengan tembok yg besar,air tetap akan mengalir sama ada air melimpah atau tembok itu pecah. Sama-sama kita fikirkan falsafah air yang dikaitkan antara kebenaran dengan kebatilan.Mahasiwa yang mempunyai jati diri tidak mudah goyah dengan pelbagai ugutan, kerana yakin bahawa rezeki mereka ditentukan Allah. Tekanan ketika bergelar mahasiswa semestinya wujud dan itulah yang mematangkan kita. Mereka yang berjaya mengharungi pelbagai ujian dan tekanan inilah yang akan bersedia untuk terus memimpin masyarakat di dalam memperjuangkan agama dan kebajikan masyarakat sejagat. Sama-sama kita bermuhasabah dan mengembalikan hati kita kepada niat utama dalam membela mereka yang ditindas kerana Allah. Nescaya, pertolongan Allah akan bersama orang-orang yang ikhlas dan sabar.
Wallahua’lam.
~~~ Ya ALLAH bantulah sahabat2 ku di KUIS..Ameen. Barakallahu fikum!!! LA TAKHAF, INNALLAHA MA'AS SIDDIQIIN..
0 comments:
Post a Comment