Allahu Ma'ie, Allahu Naadzari, Allahu Syaahidi

Sunday, March 14, 2010



Seorang ulama terkemuka, Imam Sahl bin Abdullah at-Tastari menceritakan kisah dirinya. 

"Ketika berumur tiga tahun, aku ikut bapa saudaraku iaitu Muhammad bin Sanwai melakukan qiyamullail. Aku melihat cara solat bapa saudaraku dan aku meniru gerakannnya.

Suatu hari, bapa saudaraku berkata kepadaku, "Adakah kau mengingati Allah, yang menciptakanmu?"

Aku bertanya padanya, "Bagaimanakah caranya aku mengingati-Nya?"

Beliau menjawab, "Anakku! Jika kau berganti pakaian dan ketika hendak tidur, katakanlah tiga kali dalam hatimu, tanpa menggerakkan lidahmu. 'Allahu Ma'i... Allahu Naadzari... Allahu Syaahidi!' (Ertinya Allah bersamaku, Allah melihatku, Allah menyaksikan aku!)."

Aku menghafalkan kalimah itu, lalu mengucapkannya setiap malam. Kemudian, aku menceritakan hal ini kepada bapa saudaraku.

Bapa saudaraku berkata, "Mulai sekarang, ucapkan zikir itu sepuluh kali setiap malam."

Aku mengamalkannya, aku fahami maknanya dan aku merasakan ada kenikmatan dalam hatiku. Fikiran terasa tenang. Aku berasa sentiasa bersama Allah Subhaanahu wa Ta'ala.

Satu tahun selepas itu, bapa saudaraku berkata, "Jagalah apa yang aku ajarkan kepadamu, dan amalkanlah sehingga mati. Zikir itu akan bermanfa'at bagimu di dunia dan di akhirat."

Katanya lagi, "Wahai Sahl! Orang yang berasa selalu disertai Allah, dilihat Allah dan disaksikan Allah, adakah dia akan melakukan maksiat?"

Kalimat Allahu Ma'i. Allahu Naadzari. Allahu Syaahidi! sangat terkenal di kalangan ulama arif billah. Bahkan, Syeikh al-Azhar, Imam Abdul Halim Mahmud, yang juga dikenali sebagai ulama yang arif billah menganjurkan kepada kaum Muslimin supaya membacakan kalimah ini di dalam hati. Maknanya yang dahsyat, jika dihayati dengan bersungguh-sungguh, akan mendatangkan rasa ma'iyatullah (selalu berasa disertai, dilihat dan disaksikan oleh Allah Subhaanahu wa Ta'ala.)
Akhirnya, hal ini akan menimbulkan rasa taqwa yang tinggi kepada Allah Subhaanahu wa Ta'ala. Kalau sudah begitu, adakah orang yang berasa selalu disertai,dilihat dan disaksikan  Allah akan melakukan maksiat?

Sumber: Ketika Cinta Berbuah Syurga, Habiburrahman El-Shirazy, Ar-Risalah Product Sdn Bhd (2009)

Muhasabah diri, selamat beramal kerana Allah...


0 comments:

Post a Comment

Lokasi Pelawat

Kongsi