Mendidik Tauhid Anak-anak

Friday, March 19, 2010

MENDIDIK TAUHID ANAK-ANAK


Antara faktor yang menyebabkan proses pengajaran dan pendidikan tauhid kepada anak-anak kurang berkesan adalah:

1. Tidak memanfa'atkan usia muda yang paling optimum.

    Usia yang paling optimum untuk menanamkan ilmu tauhid adalah antara 8 bulan hingga 8 
    tahun (malah sesetengah pendapat, sejak dari alam rahim ibu lagi.) Pada waktu ini, 
    fitrah anak sungguh bersih, ditambah pula oleh fikiran, perasaan dan jiwanya yang mula 
    berkembang.

    Usia ini sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk memperkenalkan Allah secara mudah, 
    'natural', santai dan berterusan. Hujah akal tidak diperlukan sangat. Yang penting, 
    memberitahu, menetapkan dan meyakinkan. Dalil dan pemikiran rasional tidak dituntut 
    justeru pada usia begini selalunya anak-anak menerima sahaja input yang diberikan 
    kepada mereka. Kita katakan, Allah itu Penyayang, Allah itu Pengasih, Allah itu
    Penyabar... maka anak-anak akan menerimanya tanpa soal lagi.

    Selalunya, individu yang paling awal kita kenali dalam hidup, maka orang itulah yang 
    paling besar pengaruhnya dalam kehidupan kita apabila dewasa. Pakar-pakar psikologi 
    menggunakan istilah 'pelaziman individu rapat yang berpengaruh' untuk menerangkan hal 
    ini.

    Sebab itu anak-anak yang telah diperkenalkan kepada Allah sejak kecilnya, akan 
    terbentuk menjadi orang dewasa yang dipengaruhi oleh rasa tauhid yang mendalam. 
    Tauhid umpama benih yang disemai pada awal usia, dan akan tumbuh membesar selaras 
    dengan pertambahan usia. Ibu bapa yang bijak, akan memanfa'atkan masa perbualan,
    waktu makan, waktu bermain dan apa sahaja waktu bersama anaknya untuk 
    memperkenalkan Tuhan.

2. Tidak manfa'atkan unsur alam bagi memperkenalkan Tuhan.

    Bagaimana hendak memperlihatkan kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T. melalui 
    penciptaan alam?


    Tunjukkan dulu akan kebesaran dan kehebatan alam ini. Terangkan betapa teraturnya 
    alam ini dengan bulan, bumi dan matahari sentiasa bergerak dan beredar dalam orbit 
    masing-masing. Dari pusingan dan peredaran itu terjadilah siang dan malam, hari,
    minggu, bulan dan tahun. Betapa sukarnya kita hendak menggerakkan sesuatu, perlukan 
    tenaga dan daya yang kuat...maka tentulah Allah yang mengatur seluruh semesta alam ini 
    lebih kuat, dan lebih berkuasa.


    Ertinya, sains adalah ilmu paling signifikan untuk menanamkan rasa tauhid dalam diri 
    anak-anak. Bukankah sejarah pencarian Nabi Ibrahim untuk mengenali Tuhan "terpaksa" 
    melalui liku-liku dalam ilmu sains? Baginda melihat betapa besarnya kejadian ciptaan 
    Allah - seperti bintang, bulan dan matahari. Timbul rasa kagum dalam dirinya akan 
    kehebatan "ciptaan-ciptaan" itu. Lalu itu semua pernah disangkanya sebagai Tuhan.. 
    Namun oleh kerana "kebesaran" kejadian-kejadian itu akhirnya dilindungi oleh yang lain, 
    maka baginda merasakan tentu ada lagi zat lain yang "maha besar" - yang mengatasi 
    kebesaran bintang, bulan dan planet-planet itu. Maka pada ketika itulah Nabi Ibrahim 
    diperkenalkan kepada Allah oleh Malaikat Jibrail.


    Maka kaedah yang sama perlu digunakan masa kini. Bawa anak-anak melihat "kebesaran" 
    alam dalam perjalanannya melihat kebesaran Allah. Selagi anak-anak tidak nampak 
    kebesaran alam ciptaan Allah ini maka sukar baginya merasakan kebesaran Allah yang 
    menciptanya.




Perkenalkan dahulu sifat-sifat Allah yang Maha Lembut


Menerusi tertib penurunan wahyu, Allah telah memperkenalkan dahulu sifat-sifatNya yang 
lembut, baik, pemurah, penyayang... sebelum memperkenalkan sifatNya yang maha membalas, punya seksa yang maha pedih dan sebagainya. Ini juga satu kaedah untuk menyuburkan rasa tauhid ke dalam diri anak kita. Kenalkan dahulu sifat-sifat yang mendatangkan rasa "cinta" daripada rasa "takut". Walaupun cinta dan takut itu wajib ada dalam diri anak-anak, tetapi dalam kaedah menanamkannya ke dalam hati, rasa cinta mesti didahului daripada rasa takut. 


Kenapa agaknya, kaedah semacam itu perlu dipilih untuk mendidik rasa tauhid?


Sebab Allah mahu menimbulkan rasa dekat, rasa cinta dan rasa sayang para hamba terhadap diri-Nya. Dengan rasa cinta dan sayang itu barulah hamba-Nya merapatkan diri. Datanglah pengabdian dan ketaatan hasil rasa cinta. Selepas itu barulah diperkenalkan-Nya sifat-sifat yang menggerunkan seperti Dia memiliki seksa yang amat pedih, maha merendahkan, maha pengancam dan sebagainya. Ertinya, anak-anak mesti dididik dengan rasa cintakan Allah berdasarkan sifat-sifat dan nama-nama-Nya yang lembut lebih dahulu sebelum rasa takut berasaskan sifat dan nama-nama-Nya yang keras.


Malangnya, ini tidak berlaku. Bila anak melakukan kesalahan, maka kita ugut dia... nanti Allah humban dalam neraka, kalau bohong, lidah kena gunting dengan api! Akibatnya, anak-anak akan mengenali Allah sebagai Tuhan maha menghukum, maha mengazab dan sebagainya. Betul demikian, tetapi salah caranya.


Kenapa tidak diterangkan misalnya, bila hujan turun, kita katakan, "Wah! Allah sayang kita." Bila berdepan dengan juadah yang banyak, kita katakan, "Syukur banyaknya rezeki kita malam ni...ini bukti Allah pemurah." Bila anak-anak melakukan kesalahan, kita anjurkan dia meminta maaf, katakan bahawa Allah itu maha pengampun!


Walaupun tauhid itu ajaran yang penting, tetapi kaedah tepat untuk menyampaikannya juga sangat penting. Justeru, betapa pun bahan masakan berzat tetapi kalau silap kaedah memasaknya, maak musnah jua akibatanya!


Sumber: Membetulkan Kesilapan Mendidik Tauhid, oleh Abu Jihad, Solusi Isu Perdana.


0 comments:

Post a Comment

Lokasi Pelawat

Kongsi