Seorang Da'ie Itu

Tuesday, September 29, 2009


Peliknya da'ie ini
Orang lain hujung minggu
Jalan-jalan atau 'shopping',
Hidup da'ie ada dua sahaja:
Pergi program dan study

Peliknya da'ie ini
Orang lain sibuk tengok
"Kyle XY" atau main CS terbaru,
Da'ie ini ada dua sahaja:
Belajar atau program
(Usrah atau meeting)

Peliknya da'ie ini
Jika orang biasa,
masa santai kena tengok movie atau siri korean,
Bagi dia, masanya itu untuk catch up bahan-bahan bacaan,
Untuk prepare pengisian dalam
Kuliah/program/usrah

Peliknya da'ie ini
Duitnya entah ke mana
Asyik tak cukup sahaja
Balik-balik kena cari sponsor,
Tapi orang tak nampak
RM 5, RM 10, RM 50, duitnya itu...
Semuanya untuk apa?

Duit minyak, transport, bantu orang susah, infak...
Manalah ada untuk diri sangat

Hmm,apa lagi ya yang pelik pasal da'ie ini
Hidup pun kadang tak terurus
terlupa itulah inilah, macam-macam
Tapi itulah da'ie
Tetap senyum sahaja dia
Walau dalam hati menjerit
Walau dalam hati dia menangis
Walau di dalam hatinya
Tiada yang memahami



Da'ie itu tetap SENYUM sahaja..

# syukran atas kata-katamu ini, sahabat...

Read more...

Permaisuri Hati


Di antara kekasih pilihan di hati
Punyai budi penghias diri
Wajahnya lembut biasan pekerti yang tinggi
Indahnya perhiasan dunia

Diantara diriku juga diri-mu
Hanya mengharapkan cinta yang Satu
Ku kan binakan mahligai impian-mu
Oh.. sayang ikhlaskanlah hatimu

Malumu bernilai
Katamu berhikmah
Hatimu tulus suci dan murni
Hanya diri yang halal
Engkau serahkan segala
Untuk mencari redha Allah

Benarlah cinta buta melalaikan
Tanpa memikirkan batas syariatnya
Semuanya itu hanya ujian didunia
Ia adalah mahar untuk kita ke syurga
Oh Kau Permaisuri di hatiku
Di dunia ini engkau penghibur
Menjunjung kasih amanah Ilahi
Ku pasti akan terus menyayangi
Terima kasih ucapan ku beri
Kau hadiahkan ku cahaya hati
Ku pimpin tangan-mu oh kasih meniti hari
Semoga kita dapat bersama
Sampai kepada-Nya di syurga sana

Tuhan kekalkanlah
Permaisuri hati ku
Untuk menemani dalam mengapai cinta-Mu

Read more...

TIPS MENOLAK PERMUSUHAN

  1. Maafkan, tanpa mengira pihak siapa yang benar atau salah.
  2. Jika tidak mampu memaafkan, cepat berlalu dan diam.
  3. Kenangkan detik-detik manis atau kebaikan yang pernah dilalui bersama dengan 'musuh' kita itu.
  4. Muhasabah hubungan kita dengan Allah. Mungkin Allah mendidik kita melalui kerenah musuh kita itu.
  5. Sedarlah, kita hanya hamba, penuh kekurangan dan kesalahan. Kita layak disakiti, disalahtafsirkan dan sebagainya.


Firman Allah S.W.T. : Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (Surah Fussilat: 34)

Read more...

Tips Atasi ZINA HATI

Friday, September 25, 2009


TIPS/PANDUAN ATASI ZINA HATI

Selagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan dikasihi. Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan. Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati. Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.

Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu. Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis.” Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih.” - (Surah Yusuf, ayat 24)

  • Ikhlas kepada Allah. Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada Allah. Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: “Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.

  • Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah. Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung. Ketika kita berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan Allah amat dekat mendengarkan rayuan.

  • Mengurus mata dan pandangan. Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh. Ibnul Qayyim menyatakan: “Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya.”

  • Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik. Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan orang dicintai dan diidamkan.
Credit to: http://syukislamtj.blog.friendster.com/

Read more...

Tips Memilih Pasangan Hidup di DUNIA dan AKHIRAT




TIPS MEMILIH PASANGAN HIDUP DI DUNIA DAN AKHIRAT


1. Yang beriman dan kuat agamanya. Ini agak relatif. Ada yang mempunyai ilmu agama yang cetek tetapi sangat cintakan ilmu agama dan selalu menambah serta berminat untuk mendalami ilmu. Seorang isteri yang cetek ilmu agama, tetapi solehah dan taat akan mudah dibentuk mengikut acuan suaminya. Ini juga mungkin boleh diterima, especially lelaki dalam memilih calon isterinya. Sebaliknya jika untuk wanita, perlu dilihat sejauh mana ilmu agama calon suaminya kerana ia akan melibatkan banyak faktor, kerana suami adalah ketua keluarga.

a) Seorang suami yang kurang agama akan sukar menerima teguran isterinya dalam bab agama kerana keegoannya. Ini bergantung pada kekreativitian isterinya menggunakan teknik yang bersesuaian untuk menegur secara berhikmah.

b) Seorang isteri berkemungkinan akan bertindak sebagai queen control dalam rumah tangga tanpa disedarinya. Keadaan ini baik jika si isteri ingin membawa Islam dalam family, tetapi jika suami rendah keyakinan diri (self esteem) akan menyebabkan rasa hatinya tidak meredhoi isterinya tanpa disedari. Apatah lagi jika perbezaan ilmu agama keduanya sangat berbeza. Isteri yang banyak pengalaman akan tahu merendahkan dirinya di hadapan suaminya bila perlu dan tetap menghormati suaminya.

c) Jika suami mempunyai ilmu agama tetapi isteri kurang dan degil pula, maka, sukar sangat suami hendak mengubah perangai isterinya yang telah dibiasakannya dari kecil hingga dewasa. Apatah lagi jika memilih isteri kerana kecantikannya. Kebolehan untuk menegur isteri akan hilang apabila isteri membuat perangai manjanya dan cuba untuk memenangi hati suaminya dengan akhlak dan perangai lamanya ( contoh : berhias berlebihan dan make-up berlebihan ketika keluar rumah). Suami jadi sukar menegur, bila dia berbangga mempunyai isteri yang cantik dan suka isterinya mempamerkan kecantikannya kepada kenalan dan saudara. Ini dinamakan dayus (suami yang membiarkan isterinya melakukan kemungkaran).

2. Yang mempunyai adik-beradik yang ramai. Ini agak relatif, jika di sebelah pihak sudah mempunyai adik-beradik yang ramai, faktor ini mungkin hanya nilai tambah sahaja. Namun, sama-samalah kita menyahut seruan Rasulullah s.a.w untuk meramaikan umat Baginda. Walau bagaimanapun, mempunyai ramai anak tidak menjamin kebaikan seandainya salah didikan terhadap mereka. Ibu bapa harus mengambil kira faktor didikan yang baik untuk anak mereka. Jika beranak lima sahaja sudah tidak mampu memberi didikan agama yang sempurna usah ditambah, kerana anak yang rosak inilah yang akan mengacau bilaukan masyarakat dengan akhlak dan pelbagai gejala sosialnya. Malah, ia juga yang memalukan nama baik Islam dan menconteng arang di muka ibu bapanya. Apa yang penting adalah kualiti. Namun, Islam amat menyanjungi ibu yang mempunyai anak yang ramai hingga dua belas contohnya, dan semua cemerlang dalam kehidupan. Subhanallah. Itulah yang kita harapkan. Memang bilangan anak adalah ketentuan Allah, tapi ia boleh dirancang antara suami dan isteri. Natijahnya Allah tentukan.

3. Yang baik budi pekerti serta mengutamakan ibu bapa. Penting bagi memilih pasangan yang berakhlak (perangai) baik kerana ia akan menyantuni pasangannya dengan baik setelah berumah tangga. Jika tidak suka sesuatu sifat pasangannya, maka ia diam dan bersabar. Jika suka, ia bersyukur. Terutama akhlaknya baik pada ibu bapa dan memenuhi tanggungjawab sebagai anak. Sebab itu faktor iman amat penting kerana ia akan bijak membuat penilaian. Sebagai suami, mengutamakan ibu dari isterinya. Sebagai isteri, mengutamakan suami dari ibunya.

4. Yang bercampur golongan rakan yang baik. Seseorang itu adalah cerminan sahabatnya. Jika kita ingin mengetahui akhlak calon pasangan kita, lihatlah pada akhlak sahabatnya. Jika sahabatnya kalangan soleh atau solehah, insya Allah, ke’soleh’an dan ke’solehah’an sahabatnya akan turut terpalit dan terpengaruh padanya. Terutama sahabat yang paling akrab dan selalu bersamanya. Ataupun, ke ‘soleh’an dan ke ‘solehah’an bakal pasangan kita yang telah mempengaruhi sahabatnya. Oleh, itu faktor ini sangat penting kerana kawan atau sahabat adalah antara pengaruh paling besar dalam kehidupan seseorang terutama remaja dan pra-dewasa.

5. Latar belakang daripada keluarga/ keturunan yang baik. Adalah penting bagi kita untuk memilih pasangan yang berasal dari keturunan atau keluarga yang baik-baik. Ini adalah kerana beberapa faktor.

a) Keturunan yang baik menjamin dirinya dibesarkan dalam suasana keluarga orang yang baik-baik.

b) Ia akan mempengaruhi generasi anak, cucu dan cicit yang akan lahir dari zuriatnya nanti supaya turut mempunyai didikan dan asuhan yang baik kerana dipengaruhi oleh faktor keluarga dan keturunan orang baik-baik.

6. Yang mendokong atau menyokong Islam. Ini adalah faktor yang sangat jarang dititik beratkan oleh masyarakat sekarang. Akibatnya, ramai pejuang Islam yang futur (tidak berada lagi) di jalan dakwah dan daripada menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w. Kesannya sangat buruk terhadap jamaah yang memperjuangkan Islam. Kehilangan figur-figur penting ini melemahkan semangat ahli yang lain dan membuatkan Islam kekurangan orang-orang yang memikul beban dakwah. Sebab itulah, penting bagi kita memilih pasangan yang sefikrah yakni sama cara fikir, supaya ia tidak mengganggu, menyekat, menghalang atau membantutkan gerak kerja dakwah kita di masa hadapan. Terutama wanita, sering suaminya menyuruhnya menumpukan perhatian pada rumah tangga dan mengurangkan gerak kerja dakwahnya. Wanita harus waspada dan sangat berhati-hati dalam memilih pasangan. Apatah lagi, apabila mendapat calon yang terang-terang menentang Islam, perlulah bijak dalam membuat penilaian dan pertimbangan. Usah terburu-buru dan bimbang menjadi andartu, justeru menerima sahaja siapa yang masuk meminang tanpa diselidiki dengan teliti. Akibatnya, rumah tangga kacau bilau kerana begitu banyak perbezaan pendapat dan akhirnya futur dari jalan dakwah dan perjuangan Islam. Ingat, rumahtangga jangan diabaikan, perjuangan jangan diremehkan.

7. Yang adil dan memahami. Penting bagi kita memilih pasangan yang adil dan memahami dari semua sudut. Adil adalah penting kerana, jika ia adalah suami, maka ia akan adil jika berpoligami. Jika ia tidak adil, maka kemungkinan untuk mengabaikan isteri-isterinya jika berpoligami adalah sangat tinggi. Akibatnya runtuh institusi kekeluargaan, isteri terpaksa menyara hidup diri dan anak-anak dan asuhan terhadap anak-anak terabai mengakibatkan anak-anak terlibat dengan gejala tidak bermoral. Begitu juga si isteri, bila ia tidak adil, ia sukar menghargai pengorbanan dan kesusahan suami, justeru meleter dan membebel tanpa mengira masa yang sesuai. Faktor memahami; agak sukar ini berlaku kerana lelaki dan wanita mempunyai cara fikir dan perwatakan yang berbeza. Namun, seorang yang berpengalaman dan mempunyai banyak ilmu melalui pembacaan akan mudah serasi dan menerima pasangannya seadanya tanpa melukai perasaannya. Teguran berhemah dan saling bertolak-ansur adalah resepi kebahagiaan rumah tangga. Remaja dan mereka yang sudah berada di peringkat umur perkahwinan perlulah banyak menambah ilmu rumah tangga, resepi dan tips kebahagiaan melalui buku-buku, majalah dan menimba pengalaman dari mereka yang telah lebih dahulu merasa asam garam rumah tangga. Sebab itu faktor iman dan agama sangat penting kerana Islam banyak mengajar kita nilai-nilai yang baik terutama sabar dan redha. Seorang yang kuat agamanya maka biasanya kuat kesabarannya dan teguh keimanannya serta tidak mudah melatah apabila menghadapi situasi yang keruh dan dingin dalam melayari bahtera rumah tangga.

8. Yang pandai berjimat. Kita perlu memastikan bahawa calon pasangan kita adalah pandai berjimat orangnya dan tidak boros. Namun, jika calon kita sangat suka bersedekah, maka kriteria ini adalah nilai tambah. Tidak akan rugi mereka yang suka bersedekah. Allah membalas dengan sebesar-besar ganjaran untuk mereka yang suka bersedekah. Jika calon kita boros orangnya, maka perlu dinilai semula dan melihat kemampuan calon lain menandinginya kerana sifat boros ini sangatlah tidak baik dan ia akan menjejaskan ekonomi rumahtangga nanti. Kehidupan berumah tangga memerlukan penggunaan wang yang banyak apatah lagi apabila sudah mempunyai cahaya mata. Maka, pemborosan perlu dielakkan dan sifat ini jika sudah terbiasa, dibimbangi sukar diubah apabila telah berkahwin. Mengambil mudah dalam memilih pasangan akan menyebabkan penyesalan seumur hidup dan kepayahan dalam mendidik anak-anak kerana ia telah mewarisi akhlak buruk pasangan itu tadi.

9. Yang pandai menjaga pandangan. Adalah perlu dipastikan, bahawa calon pasangan adalah yang tidak liar matanya. Ini adalah kerana Islam menuntut umat supaya menurunkan pandangan dan memelihara kemaluan untuk menjaga hati. Calon pasangan yang gagal menjaga pandangan ini berkemungkinan akan berlaku curang dan berhati kotor kerana pandangan yang tidak dijaga. Justeru, ada dua kemungkinan untuk soal menjaga pandangan ini.

a) Kemungkinan besar, calon yang tidak menjaga pandangan ini tadi telah memilih kita kerana paras rupa dan kecantikan, bukannya agama. Ini menunjukkan tahap penguasaan agamanya yang lemah dan ketidakmampuannya membuat penilaian yang betul semasa memilih kita. Apatah lagi pilihan lain yang akan dibuat setelah berumah tangga nanti, sudah tentu aspek penilaiannya tidak berdasarkan pandangan hukum dan agama.

b) Apabila ia tidak menjaga pandangan, ini mungkin mengurangkan aspek penyucian hati dan kebersihan hati, justeru seorang yang bermasalah hati memungkinkan banyak mendatangkan masalah dalam rumah tangga terutama dalam memberi didikan yang baik terhadap anak-anak.

c) Jika faktor kecantikan dan bukan keimanan yang diambil kira semasa pemilihan kita sebagai pasangannya, maka ada kemungkinan untuk pasangan kita mendapatkan yang lain seandainya ada yang lebih cantik dan menawan hatinya.

Faktor-faktor inilah yang perlu dititik beratkan dalam memilih pasangan. Tiada yang sempurna tapi masih ramai yang menghampiri kesempurnaan. Memilih yang terlalu banyak cacat celanya hanya kerana simpati atau cinta hanya akan mengakibatkan kekecewaan dan penyesalan seumur hidup. Jika tidak mampu bertahan, ambillah orang tengah yang beriman untuk diajak berunding secara baik. Seandainya tidak mampu juga untuk kekal dalam sebuah perkahwinan, maka bercerailah dengan baik walaupun talak itu adalah perkara halal yang dibenci Allah. Ingatlah bahawa iman, sabar dan redha adalah kuncinya.

Ada banyak doa yang baik untuk diamalkan agar dipermudahkan mendapat jodoh yang baik. Antaranya:

“Robbana hablana min azwajina wa zurriyyatina qurrota a’yunin waj’alna lilmuttaqina imama.”

“Ya Allah ya Tuhan kami, kurniakan kami pasangan dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata kami dan jadikanlah kami kalangan pemimpin orang-orang yang bertakwa.”

“Allahumma inna nas aluka zaujan solihan wa ‘aliman wa ‘adilan wa zakiyyan, wa minal muttaqiin wa min at-tawwabin wa min al-mutathohhirin wa min al-sodiqin wa min al-mujtahidin wa min al-mujahidin wa min an-najihin wa min as-sobirin wa min al-ulama’ wa min al-fuqaha’ wa min as-syuhada’ wa min al-hufaza’ ..amiin ya Allah.”

“Ya Allah ya Tuhan kami, Kami memohon dikurniakan suami yang soleh dan berilmu dan adil dan dan pandai dan terdiri dari kalangan mereka yang bertakwa, dan mereka yang bertaubat, dan mereka yang menyucikan diri, dan mereka yang benar, dan mereka yang berusaha gigih, dan mereka yang berjuang, dan mereka yang berjaya, dan mereka yang sabar, dan mereka yang banyak ilmu, dan mereka yang faqih, dan mereka yang mati syahid dan mereka yang menghafaz al-Qur’an. Perkenankanlah permintaan kami ya Allah.”


CREDIT TO:

http://srikandiumar.blog.friendster.com

Read more...

Lokasi Pelawat

Kongsi