Sekufu Dalam Perkahwinan

Monday, April 19, 2010



Bismillahirrohmaanirrohiim.

Kali ini saya ingin berkongsi dengan kalian tentang sekufu dalam perkahwinan.

Kita mulakan dengan mengenali tentang definisi sekufu itu sendiri. Al-Kafa'ah (sekufu) di dalam bahasa Arab bermaksud 'persamaan' atau 'setaraf'. Menurut istilah fikah, sekufu di dalam perkahwinan ialah 'persamaan taraf status lelaki dan wanita di dalam hal-hal tertentu yang melayakkan mereka untuk menjadi pasangan.' - Ahkam al-Usrah, jil.1, ms. 53.

Jumhur ulama' berpendapat bahawa sekufu bukanlah syarat sah nikah tetapi ia adalah syarat untuk memilih pasangan. Tanpanya para wali berhak membatalkan perkahwinan. Manakala, kesahihan nikah itu terletak kepada keizinan wanita dan walinya di dalam menikahkan serta menuruti rukun nikah yang lain.- Mughni Muhtaj, jil.3, ms. 164.
Hadith Rasulullah S.A.W. : 

"Janganlah kamu menikahkan gadis kecuali dengan yang sekufu dan janganlah menikahkan mereka kecuali dengan wali dan jangan menikahkan kecuali dengan mahar yang tidak kurang daripada 10 dirham." - Hadith riwayat Daruquthni dengan sanad yang sangat dhaif dan padanya terdapat perawi yang dituduh pendusta.

Mazhab Syafi'e meletakkan sekufu sebagai hak seorang wanita dan walinya di dalam perkahwinan. Jika salah seorang daripada mereka menghalang perkahwinan kerana tidak sekufu, maka ia tidak boleh dilangsungkan. 

Jumhur ulama' berpendapat bahawa sekufu adalah syarat untuk meneruskan pernikahan, bukannya syarat sah perkahwinan. Menurut Imam Syirazi , jika seorang wanita ingin berkahwin dengan lelaki yang tidak sekufu, maka tidak menjadi kewajipan kepada wali untuk mengahwinkannya. Ini menunjukkan bahawa sekufu sangat penting dalam sesebuah perkahwinan kerana ia dapat menjamin kebahagiaan dalam berumah tangga. Insya ALLAH.

Perihal tentang sekufu, dikisahkan bahawa pada zaman Rasulullah S.A.W., ada seorang hamba perempuan bernama Burairah yang telah dimerdekakan oleh Aisyah. Setelah dimerdekakan, Rasulullah S.A.W. telah memberi pilihan kepada Burairah sama ada mahu meneruskan perkahwinannya ataupun bercerai. Maka, nyatalah bahawa Rasulullah S.A.W. begitu menitik beratkan persoalan sekufu. Ini memandangkan suami Burairah masih lagi hamba berbanding dirinya sudah merdeka.

Persoalannya, apakah aspek yang penting untuk menentukan seseorang itu sekufu atau tidak?

Jawapan yang jelas dan disepakati adalah sekufu itu merujuk kepada agama. Inilah pendapat yang paling tepat dan sahih.


Firman ALLAH S.W.T. :


"Wanita-wanita keji adalah untuk lelaki-lelaki keji dan lelaki-lelaki keji adalah untuk wanita-wanita keji (juga), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)..." - Surah an-Nur : 26

Pendapat ini dririwayatkan daripada Imam Malik dan Zaid bin Ali bahawa kafa'ah (sekufu) itu merujuk kepada sama taraf di dalam agama sahaja. Maka, tidak halal seorang muslimah dikahwinkan dengan pasangan bukan Islam dan tidak pula wanita solehah kepada lelaki fasik. Setiap muslim itu adalah bersaudara, sama ada dia hamba atau merdeka, berbangsa Arab atau bukan, kaya atau miskin. - Bidayatul Mujtahid, jil.2, ms. 16.

Walau bagaimanapun, faktor lain diizin untuk dipertimbang seperti bangsa, keturunan, harta dan kedudukan misalnya hamba atau merdeka. Ini dibenarkan sekiranya ia boleh menggugat keharmonian dan tidak diredhai oleh salah seorang di antara calon pasangan suami isteri tersebut.

Hal ini jelas berlaku apabila ramai hamba sahaya di kalangan sahabat Rasulullah S.A.W. mengahwini wanita Quraisy yang berstatus dan berketurunan mulia. Perkahwinan itu berlangusng di atas kerelaan wanita tersebut kerana memandang kepada agama seperti yang diperintahkan oleh Islam.

Sebagai contoh, kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. Bilal bin Rabah (bekas hamba) yang berketurunan Habshi telah dikahwinkan dengan seorang wanita Ansar. Wanita tersebut mengetahui bahawa Bilal bukan berbangsa Arab. Namun, Rasulullah S.A.W. mengenepikan soal darjat antara mereka dan mengatasinya dengan cara memberi kefahaman serta penghayatan agama.

Kesimpulannya, umat Islam perlu lebih bijak memahami dalil-dalil dengan mendalami maksud syara' serta memahami as-sunnah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W. menegaskan:

"Sesungguhnya ALLAH tidak melihat kepada rupa paras kamu dan jasad kamu. Tetapi ALLAH melihat kepada hati kamu dan amalan kamu." - Hadith sahih riwayat Muslim.

Inilah seruan Rasulullah S.A.W. supaya manusia meninggalkan adat jahiliyah yang berbangga dengan keturunan, harta, pangkat, serta kedudukan. Sebaliknya, perlu memandang kepada AGAMA dan TAQWA. Seharusnya kita meneliti kembali corak pemikiran yang selama ini kita pegang.

Allahu A'lam.Moga perkongsian ini dapat menambah ilmu dan meningkatkan kefahaman sebagai persediaan baitul muslim yang bakal kita bina kelak . Ameen..

Perkongsian dari buku Mencari Pasangan Hidup oleh Ustaz Emran Ahmad, Karya Bestari.

0 comments:

Post a Comment

Lokasi Pelawat

Kongsi