Kita yang mana?

Friday, February 26, 2010



Kita yang mana?

Mujahid Fathi Yakan dalam karyanya Ma Za Ya'ni Intimai Li Al-Islam, menyatakan bahawa terdapat tiga jenis kategori manusia di dunia ini. 

Kategori Pertama

Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka adalah golongan yang disebut sebagai ad-Dahriyyun. Sikap mereka dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam al-Quraanul Kareem yang bermaksud :

"Dan tentu mereka akan mengatakan (pula): 'Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia sahaja, dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan.'" (Al-An'am:29)

Kategori Kedua

Golongan yang hilang pedoman, terumbang-ambing, 'aqidah bersimpang-siur, mereka melakukan kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah SWT dalam kehidupan duniawi. Namun, mereka masih menyangka mereka berbuat kebajikan. Meskipun mereka percaya kepada Allah SWT dan hari Qiamat, namun 'aqidah mereka hanyalah suatu gambaran luar sahaja, sedang mereka sebenarnya terputus hubungan dengan amalan-amalan mereka. Mereka sebenarnya hanya mengejar material duniawi walaupun kadang kala mereka kelihatan melakukan kerja-kerja kerohanian.

Kategori Ketiga

Golongan ketiga inilah sebaik-baik golongan manusia. Golongan yang menganggap bahawa dunia sebagai ladang bercucuk tanam, dan mereka akan menuai hasil tanaman mereka di akhirat kelak. Ini akan dapat dilakukan hanya dengan dorongan keimanan kepada Allah SWT yang solid. Mereka menyedari hakikat kehidupan yang bersifat sementara lantas mempersiapkan bekalan semampunya menuju ke akhirat. 

Allah berfirman dalam surah Al-An'am , ayat 32 yang membawa maksud:

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?"

Bagi memastikan urusan kehidupan kita sentiasa berada di atas jalan yang diredhai-Nya, kita perlu sentiasa bermuhasabah bahawa tujuan tunggal kita dihidupkan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Az-Zariyat: 56)

Dari sekecil-kecil perkara, hingga sebesar-besar perkara yang kita lakukan dalam kehidupan kita, lakukanlah kerana Allah SWT semata-mata. Moga kehidupan bernilai IBADAH...!
Salam Semanis Iman

0 comments:

Post a Comment

Lokasi Pelawat

Kongsi