Kelebihan Bumi MAKKAH
Wednesday, March 17, 2010
KELEBIHAN BUMI MAKKAH
1. Bumi yang paling dicintai oleh Allah dan rasul-Nya.
Sabda Rasulullah SAW ketika baginda berdiri di atas al-Hazwarah (sebuah bukit kecil):
"Demi Allah sesungguhnya engkau ini (Makkah) adalah sebaik-baik tempat di bumi Allah
dan tempat yang paling dicintai oleh Allah. Sekiranya aku tidak disuruh untuk keluar
(hijrah) darinya nescaya aku tidak akan keluar." (Riwayat al-Tirmizi)
Sabda baginda SAW: "Sesungguhnya engkaulah (Makkah) tempat terbaik dan paling aku
cintai. Jika tidak kerana kaumku menghalauku keluar nescaya tidak akan kuhuni
tempat lain selain di sisimu." (Riwayat al-Tirmizi)
2. Tanah Haram dipelihara kehormatannya
Sabda Rasulullah SAW sewaktu hari pembukaan kota Makkah: "Sesungguhnya kota ini
(Makkah) telah dijadikan tanah haram oleh Allah pada hari dijadikan langit dan bumi.
Maka ia menjadi tanah haram dengan ketetapan Allah sehingga hari Qiamat. Tidaklah
boleh dipatahkan duri pepohonnya mahupun dihalau binatang buruannya. Tidak pula
boleh diambil barang yang hilang di dalamnya mahupun dibuang pucuk-pucuk pada
tumbuhan meliar." (Riwayat Imam Muslim)
3. Tidak dimasuki dajjal dan dikawal oleh para malaikat
Nabi SAW bersabda: "Tidak ada suatu tempat di dalam dunia ini tidak akan dimasuki
oleh dajjal kecuali bumi Makkah al-Mukarramah. Tidak ada sesuatu sempadan yang
terbiar melainkan semuanya ada malaikat yang berbaris menjaganya."
(Riwayat al-Bukhari)
4. Kelebihan beribadah di Makkah
Dari Jabir r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Pahala solat di masjidku (Masjid
Nabawi) adalah digandakan seribu kali solat di lain-lain masjid kecuali Masjidil Haram
(Makkah). Solat di Masjidil Haram adalah lebih afdhal dari seratus ribu kali solat."
(Riwayat Imam Ahmad)
Sekiranya kita ingin hitung berapa besarnya pahala satu solat di Masjidil Haram ini adalah
sama seperti kita solat selama 55 tahun 6 bulan dan 20 hari. Pahala solat wajib lima
waktu pula sekiranya dikerjakan di Masjidil Haram adalah seperti solat selama 277 tahun 9
bulan dan 10 hari. Subhanallah! Begitu besar ganjaran yang diberikan oleh Allah Ta'ala di
bumi Makkah al-Mukarramah ini.
Berkata Imam al-Muhibb al-Tabariyy dalam analogi yang dilakukannya bahawasanya hadith
- hadith yang diriwayatkan mengenai pahala ibadah solat di Masjidil Haram adalah juga
dalil kepada gandaan ganjaran pahala melakukan sebarang bentuk kebajikan di Tanah
Haram.
Imam Hasan al-Basri pula menambah bahawasanya puasa sehari di Makkah adalah
seumpama berpuasa selama 100 000 hari dan bersedekah dengan hanya 1 dirham
bersamaan pahala bersedekah 100 000 dirham dan setiap kebajikan digandakan 100 000
pahala.
Sumber: Solusi Isu Perdana.
Srikandi Uthman: Subhanallah, semuanya lambang cinta-Nya kepada kita!!!
0 comments:
Post a Comment