Menurut Muhammad Ali al-Sabuniyy dalam tafsir Safwatu al-Tafasir, surah ini mengandungi tiga topik asas iaitu:
1. Kisah Ashab al-Kahfi
Di sebalik kisah yang berlaku ini sebenarnya kita dikehendaki agar mencontohi
keimanan para pemuda yang melarikan diri ke dalam gua kerana hendak
menyelamatkan 'aqidah daripada dimurtadkan.
Kemudian Allah s.w.t. telah menjadikan mereka tidur dalam tempoh melebihi 300
tahun. Kemudian mereka dibangkitkan Allah selepas melalui tempoh yang panjang itu.
2. Kisah pertemuan Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khadr a.s.
Kisah ini dikemukakan untuk mengingatkan kita agar bersikap tawadhuk dalam
perkara melibatkan ilmu.Dalam episod persahabatan ini, Nabi Musa didedahkan
dengan berbagai-bagai perkara ghaib yang dikurniakan ilmunya kepada hamba yang
soleh ini seperti kisah merosakkan kapal, membunuh budak lelaki dan mendirikan
tembok buat penghuni kampung yang bersikap bakhil kepada mereka.
3. Kisah Raja Zulkarnain.
Raja Zulkarnain dianugerahi pemerintahan yang besar disebabkan keadilannya.
Beliau telah diberi amanah pemerintahan empayar yang luas dari Timur hingga ke
Barat. Selain itu Allah telah menggambarkan tentang kekuasaan Zulkarnain yang telah
membina tembok keselamatan yang besar bagi mengelakkan penghuni tempat itu dari
kezaliman Ya'juj dan Ma'juj.
Apabila kita menyelidik dengan lebih lanjut kisah Ashabul Kahfi, kita pasti akan melihat
berbagai-bagai petua yang wajar kita jadikan panduan dalam hidup. Perkara pertama
yang ditekankan dalam surah ini ialah kepentingan pendidikan 'aqidah pada generasi
umat Islam.
Kesanggupan para pemuda melarikan diri ke dalam gua adalah disebabkan oleh
keyakinan yang konkrit bahawa mereka berada di pihak yang benar menyebabkan segala
tekanan dapat dilalui dengan hati yang lapang.
Penglibatan dalam jemaah juga cukup bererti dalam perjuangan mengejar sesuatu
objektif dalam hidup. Perkara ini membenarkan wasiat Nabi S.A.W. buat semua
umat baginda agar menyertai kumpulan orang Islam.
Dalam hadith sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. pernah ditanya oleh
para sahabat tentang peristiwa-peristiwa akhir zaman.
Hadith itu bermaksud: "Saya bertanya kepada Nabi s.a.w. adakah selepas kebaikan ini
kejahatan, jawab baginda,"Ya! Iaitulah golongan para penyeru kepada neraka
jahannam,sesiapa yang mentaatinya maka akan dicampak ke dalam neraka".
Saya bertanya: "Ya Nabi, terangkan kepada saya tentang keadaan mereka," lalu Nabi
menjelaskan: "Meraka adalah dari bangsa yang sama dengan kita dan bercakap dengan
bahasa kita." Saya bertanya,apakah yang Nabi wasiatkan saya untuk lakukan jika
musibah itu berlaku, jawab Nabi s.a.w.: "Hendaklah engkau menyertai jemaah orang
Islam dan pemimpinnya!"
Justeru, jika dikaji dan direnungi dengan penghayatan, kita dapati surah ini
memfokuskan bahawa penggarapan nilai-nilai tauhid dalam diri merupakan suatu
kerja yang perlu dilakukan berterusan dan sebaik-baiknya dilakukan dalam
kumpulan, kerana proses itu pasti akan menjadi lebih mudah berbanding jika dilakukan
seorang diri.
Sumber: SOLUSI Isu Perdana.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment