Bismillaahirrohmaanirrohiim...
Mulanya cerita...
Aku seorang businessman yang punya empat isteri. Sudah rezeki, terima sahajalah. Pada kesempatan ini, aku ingin bercerita tentang isteri-isteriku. Berminat? Ayuh, mari ikuti kisahku...
Ku mulakan dahulu dengan isteri tersayang. Siapa lagi, kalau bukan isteri keempat. Dia paling muda, paling bertenaga. Dialah isteri yang paling ku cintai. Kalau aku keletihan, dialah yang menyelesaikan segala kerja yang melibatkan tenaga. Bertuah sungguh aku, punya isteri muda yang kuat dan bertenaga. Dia adalah pujaanku yang sentiasa ku jaga dan dambakan kasihnya.
Isteriku yang ketiga, tidak kurang hebatnya. Di antara keempat-empat isteri, dialah yang paling cantik. Wajahnya amat memikat sesiapa sahaja yang melihat. Pandai berhias dan bergaul di majlis-majlis rasmi mahupun dalam pertemuan-pertemuan biasa. Jika ke majlis-majlis penting sama ada untuk urusan perniagaan atau perhubungan, dialah yang selalu menemaniku. Oh..terasa bangga dalam hati setiap kali memperkenalkannya di hadapan teman-teman. Seraut wajah tenang dan tutur katanya begitu manis kelihatan!
Isteriku yang kedua tidak kurang hebatnya. Walaupun tidak secantik dan bertenaga seperti isteri ketiga dan keempat tetapi punya akal yang cerdas. Dia sangat pintar dalam menyelesaikan sebarang masalah. Jika aku buntu dalam menghadapi sesuatu masalah, dialah yang menjadi tempat rujukku. Ada sahaja buah fikiran dan jalan penyelesaian yang dapat diketengahkannya. Terasa sungguh bertuah..dia sering berada di sisiku ketika berhadapan dengan apa jua masalah.
Aduhai...Ini pula...isteriku yang pertama. Rupa tidak ada. Fikiran? Di tahap biasa-biasa sahaja. Tenaganya pula sudah semakin diragut usia. Kehadirannya semacam tiada. Pergi tidak mengurang, datang tidak menambah. Bak melukut di tepi gantang, kata orang. Hendak ku cerai, tidak sampai hati. Mujur, dia tidak kisah walaupun aku jarang-jarang datang menemuinya. Bukan tidak kasihan, tetapi apa boleh buat, hatiku tidak ada lagi padanya. Isteri tua...dah tak ada selera!
Hidupku riang dan ceria hinggalah suatu hari, tiba-tiba badanku lemah. Pandangan ku terasa berpinar-pinar. Dan akhirnya, aku jatuh terjelepok sewaktu melangkah keluar daripada satu mesyuarat. di pejabatku. Dengan segera aku dihantar ke hospital. Kaki, tangan dan badanku tidak dapat bergerak-gerak lagi. Ya ALLAH...apa sakitku?
Doktor datang dan berkata perlahan, "Maaf tuan, saya terpaksa berterus terang."
Aku mendengarnya dengan penuh rasa gentar.
"Tuan diserang barah di tahap terakhir. Mengikut pemeriksaan dan penyelidikan kami, umur tuan mungkin tidak panjang. Paling lama dua bulan. Tapi ajal maut ketentuan ALLAH. Banyakkanlah berdoa, mudah-mudahan ALLAH makbulkan. Dari sudut perubatan, tak ada apa-apa lagi yang boleh dibuat kecuali mengambil ubat penahan sakit!"
Aduh....bagai disambar halilintar mendengar kenyataan itu! Aku akan pergi buat selama-lamanya? Benarkah apa yang ku dengar sebentar tadi?
Mujurlah mulut ini masih boleh berkata-kata. Lalu ku panggil keempat-empat isteriku. Ingin ku temui mereka seorang demi seorang. Merekalah tempat aku meluahkan resah dan takut di dada ini. Pertama yang ku temui tentulah isteri tersayang - isteri keempat, isteri yang menjadi harapanku.
"Sayang, sayang tahu kan abang akan pergi tak lama lagi. Kalau ditakdir, sudi ke kalau sayang mati bersama abang? Untuk menemani abang di alam barzakh sana?" tanyaku perlahan sambil meramas-ramas tangannya penuh kasih syang dan harapan.
"Bang, soal mati jangan buat bergurau. Abang pun tahu saya muda lagi. Takkanlah abang nak saya mati sama? Abang perlu faham situasi saya. Kalau abang mati, relakanlah saya teruskan kehidupan baru dengan lelaki lain. Mustahil abang sanggup biarkan saya yang mudani hidup menjanda."
Terlepas tangannya yang ku pegang. Aku renung matanya untuk mendapatkan kepastian. Ya, dia pasti. Tidak ada langsung rasa ragu yang dapat ku baca daripada sinar matanya. Jika aku mati nanti, dialah isteri yang paling awal tidak bergelar janda. Janda muda, siapa yang tidak teringin!
Apabila isteri ketiga memasuki ruang kamar, aku masih mampu melontar sisa-sisa senyuman yang masih tinggal. Wajahnya cantik, molek dan rupawan seperti biasa. Aduhai...alangkah sukar untuk berpisah dengannya nanti.
"Darling, abang akan pergi selamanya..."
"Ya bang, saya sangat sedih bayangkan hidup tanpa abang di sisi," balasnya bersama tangisan.
Ha...ada harapan ni, bisikku dalam hati.
"Darling, sudikah temani abang di barzakh nanti sebagai bukti cinta kita? " Aku menduga hatinya.
Dia tersentak. Matanya yang bak bintang timur seakan terbeliak merenungku. Spontan, lehernya yang jinjang juga menggeleng-geleng perlahan.
"Bang, kita perlu rasional. Kecantikan saya memang untuk abang, tapi masa abang hidup saja. Bila abang mati, saya perlu teruskan kehidupan. Selain harta yang abang wariskan, kecantikan inilah aset saya untuk teruskan kehidupan yang masih panjang ni."
Oh..kau juga serupa! Alangkah seksanya memikirkan kecantikanmu yang akan dinikmati oleh lelaki lain. Harapanku hancur berderai.
Ya, isteri yang kedua adalah harapan terakhirku. Dialah yang sering menyelesaikan sebarang masalah. Tentu masalah ini juga mampu diselesaikannya.
"Abang perlu pandangan saya untuk selesaikan masalah abang?" tanyanya sebaik kami bertentang mata.
"Ya sebab kaulah satu-satu harapan abang yang masih tinggal."
"Saya kan membantu sedaya upaya untuk selesaikan semua masalah abang dengan lancar..."
"Dengan lancar?"
"Ya, soal pembahagian harta pusaka akan saya uruskan dengan baik. Perniagaan abang pun dah saya semak semua hutang piutangnya. Insya ALLAH perniagaan dapat diteruskan. Abang jangan risau. Batu nisan yang mahal dah saya tempah. Begitu juga dengan tanah perkuburan. Imam, jemaah dan masjid untuk solat jenazah juga dah saya tentukan. Abang jangan takut, semuanya dah selesai saya uruskan."
"Bukan itu maksud abang. Itu bukan masalahnya. Tapi masalah abang ialah abang takut bersendirian di alam kubur. Berilah jalan penyelesaiannya. Sekian lama kau dapat selesaikan semua masalah abang, sekarang tolonglah abang macam biasa."
"Apa masalahnya, bang?"
"Sudikah kau temani abang di alam kubur?"
Isteriku yang kedua begitu terkejut. Dia menutup muka dan berlalu segera sambil menangis.
Harapanku hancur lebur. Semua yang tersayang sudah tidak sudi lagi. Aku terkapa-kapa sendirian untuk menghadapi hidup selepas mati. Alangkah sepi hati dan ngerinya nanti.
Tiba-tiba... "Tuk! Tuk! Tuk!"
Bunyi pintu diketuk.
"Assalamualaikum...bang."
Ahh...terlupa pula...aku masih punya satu isteri lagi - isteri pertama! Isteri tua yang tidak boleh ku sandarkan apa-apa harapan, jauh sekali untuk menyuntik sebarang semangat buatku.
"Wa'alaikumussalam," jawabku hambar.
Aku tidak mengharap apa-apa daripadanya. Aku tidak akan mengemukakan apa-apa permintaan, justeru aku dapat meneka apakah jawapannya nanti.Mustahil dia yang sering aku tinggalkan, yang sering aku pinggirkan sudi menemaniku.
"Terima kasih kerana abang masih sudi jumpa saya," katanya sebaik bersalaman. Hambar dan tawar aku rasakan. Tiada langsung rasa kasih syang di hati ini buat seorang isteri sepertinya.
Dia merenung mataku. Matanya bersinar jernih dan ketenangan tidak tercabut daripada cahaya pandangan walaupun usianya sudah lanjut.
"Abang, saya sanggup temani abang. Ke mana saja. Di mana juga. Saya sanggup temani abang sekalipun terpaksa mati bersama. Jika ditakdirkan, saya sanggup temani abang di alam kubur!"
Huh...alangkah gembiranya hatiku! Rupa-rupanya dia yang sering aku pinggirkan itulah yang paling setia dan berguna. Terharu rasa hati ini dengan keikhlasannya.Ternyata dialah isteri sejati dan hakiki meskipun tiada tenaga, rupa dan idea. Ahh...mengapa hatiku buta selama ini?
Sahabat-sahabat, siapa 'aku' dalam cerita ini? Siapa lagi kalau bukan kita. Kitalah yang punya empat 'isteri'. Isteri keempat ialah jasad dan tubuh kita. Daripadanya kita mendapat kekuatan dan tenaga. Oleh itu, 'dia' kita jaga sepenuhnya. Diberi makan dan minum. serta dilindungi daripada sebarang penyakit.
Kita sangat sayang 'isteri pertama' ini. Masa, harta dan perhatian kita dihabiskan sepenuhnya untuk membelai fizikal dan anggota badan kita. Jangan sakit, cacat dan lemah. Pelbagai makanan tambahan, ubat-ubatan serta rawatan kita usahakan untuk mendapat tenaga daripada tubuh badan.
Isteri ketiga kita pula ialah harta. Siang malam kita memikirkan bagaimana untuk menambah pendapatan. Bagaimana meningkatkan kewangan keluarga? Itu yang sering kita fikirkan. Tidak cukup dengan kerja yang ada, kita usahakan kerja tambahan. Apabila wang bertambah dan simpanan meningkat,kita belikan aset. KIta beli kereta besar, rumah cantik serta kelengkapan yang serba canggih.
Apabila berhadapan dengan tetamu yang datang bertandang, kita bangga memperagakan rumah, kereta dan segala aset pencarian kita. Segala-galanya menghadiahkan status sosial dan meningkatkan darjat kita di mata masyarakat. Ironis sekali, seolah-olah nilai kita terletak pada barang-barang bernilai yang kita miliki.
Isteri kedua kita ialah anak, isteri, sanak saudara dan sahabat-sahabat kita. Pada merekalah tempat kita meluahkan masalah. Pada merekalah kita harapkan pandangan, nasihat, teguran dan jalan penyelesaian. Merekalah yang selalu kita temui, jumpa, jemput dan raikan dalam hidup. Hidup akan sepi tanpa mereka di sisi.
Isteri pertama ialah amal ibadat kita kepada ALLAH. Itulah yang sering kita lupakan. Kita pinggirkan. Bila hendak menambah amal? Nanti, esok masih ada. Bila hendak taubat, tunggu usia masih muda. Segala kebaikan sama ada yang berbentuk hablumminallah (hubungan dengan ALLAH) dengan hablumminannas (hubungan sesama manusia) sering tidak mendapat keutamaan. Segala-galanya hanya seperti 'isteri tua' yang tidak mengghairahkan dan menggiurkan lagi.
Namun, akan tiba masa nanti (dan itu pasti), akan terserlah jua mana 'isteri' yang benar-benar jujur dan setia. Ketika saat berangkat yang didahului oleh sakarat itu, apakah ada debu amal kita yang akan bertukar menjadi permata? Aduh, alangkah malangnya kesepian pada malam pertama di alam kubur sana tanpa 'isteri' yang sudi mendakap kita?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment