Saya Sebuah Bangunan
Wednesday, April 7, 2010
Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah | |
Thursday, 11 March 2010 | |
Teringat zaman sekolah rendah dahulu di mana di antara bentuk karangan yang diajar dan ditugaskan ialah seseorang itu menulis seolah-olah dia sebuah objek atau haiwan. “Saya sebuah basikal”, “Saya sepasang kasut”, “Saya seekor kucing” dan sebagainya, lalu diceritakan kisahnya dari awal hingga akhir. Maka pada ruangan bulan ini saya ingin menulis seolah-olah saya sebuah bangunan, di pusat perniagaan Bukit Gajah. Saya siap dibina pada tahun 2008 dan merupakan salah satu di antara sederetan kedai di Pusat Perniagaan Bukit Gajah. Saya dibeli oleh seorang manusia bernama Encik Abdul Razak dan dia menyenaraikan saya sebagai salah satu unit kedai untuk disewa. Penyewa saya yang pertama ialah Puan Janet dan beliau menjadikan saya sebagai pusat belajar muzik. Ramai kanak-kanak kecil hingga belasan tahun dihantar oleh ibubapa mereka untuk belajar muzik. Saya memiliki beberapa bilik kecil di mana setiap bilik menempatkan alat muzik yang berbeza – piano, violin, gitar dan drum. Puan Janet tidak menggantung papan tanda nama perniagaannya kerana menjimatkan kos, akan tetapi orang ramai sedia menggelarnya akademi muzik Puan Janet. Walaubagaimanapun setelah beberapa ketika jumlah peserta akademi ini semakin berkurangan sehingga Puan Janet menghadapi kesukaran membayar sewa bulanan kepada Encik Abdul Razak. Akhirnya perniagaan akademi ini ditutup dan saya sekali lagi disenaraikan sebagai unit kedai untuk disewa. Beberapa bulan berlalu sehinggalah datang Encik Rajen yang menyewa saya dan menjadikan saya pusat tuisyen untuk kanak-kanak sekolah rendah. Encik Rajen membahagikan bilik-bilik saya kepada pelajar darjah tertentu. Bilik terbesar dikhaskan kepada pelajar darjah enam yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Tiga bilik yang lain dikhaskan kepada pelajar darjah lima, empat dan tiga. Encik Rajen menggantung papan tanda yang besar di atas pintu masuk utama. Saya diberi nama Pusat Tuisyen Cemerlang Gemilang. Sungguhpun begitu, saya dapat rasakan pusat tuisyen ini tidak cemerlang, tidak gemilang. Tenaga pengajarnya tidak berdisiplin tidak berdedikasi, mengakibatkan murid-murid yang hadir ke kelas tuisyen lebih bermain dari belajar. Ini jauh berbeza dari tenaga pengajar sebelum ini, mereka berdisiplin lagi berdedikasi mengajar muzik dan tarian sehingga mampu mencemerlangkan para pelajar ke dunia seni. Hanya – pada kiraan saya – yuran bulanan yang agak tinggi menyebabkan ia kurang mendapat sambutan. Yuran bulanan yang agak rendah menyebabkan saya pada kali ini dihadiri oleh lebih ramai kanak-kanak. Bagi menangani masalah murid-murid yang lebih bermain dari belajar, Encik Rajen telah mengantung beberapa syarat pembelajaran di setiap bilik pengajian dan di pintu masuk hadapan. Namun ia hanya umpama hiasan, tiada siapa yang memerhatikannya, apatah lagi untuk mengikutinya. Pada hujung tahun 2009, keputusan UPSR diumumkan. Seperti yang saya jangkakan, para pelajar darjah enam Pusat Tuisyen Cemerlang Gemilang tidak mendapat keputusan yang cemerlang mahupun gemilang. Ibubapa menjadi marah dan hampa dengan pusat tuisyen ini dan amat sedikit di antara mereka yang mendaftar anak-anak mereka pada tahun 2010. Ini menyebabkan Encik Rajen terpaksa menutup perniagaannya yang hanya berumur setahun dan saya sekali lagi dikosongkan, menunggu penyewa yang baru. Begitulah kisah saya secara ringkas. Sementara menunggu penyewa baru, saya hanya dikenali sebagai kedai No. 4, Pusat Perniagaan Bukit Gajah. Apa cerita sebenar? Agaknya ramai pembaca yang tertanya-tanya, apa dan ke mana saya hendak bawa cerita “Saya Sebuah Bangunan” di atas? Cerita di atas hanyalah permisalan kepada subjek “Negara Islam” dan perlembagaan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sering ditekankan oleh sebahagian sahabat-sahabat saya, mungkin juga di kalangan para pembaca yang dihormati sekalian. Ringkasnya, ramai yang memberi penekanan sama ada Malaysia sebagai sebuah “Negara Islam” atau “An Islamic State” yang memiliki perlembagaan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini adalah penekanan yang baik namun manakah yang lebih utama, nama atau pengisian? Sebuah negara boleh diumpamakan dengan sebuah kedai, di mana yang penting bukanlah nama kedai tetapi apa yang dilakukan di dalam kedai itu. Jika sebuah kedai itu mengajar muzik, maka orang ramai akan menggelarnya akademi muzik selagi tiada papan nama yang digantung di atas pintu utama kedai. Jika sebuah kedai itu dinamakan Pusat Tuisyen Cemerlang Gemilang namun para pengajar dan pelajarnya tidak cemerlang tidak gemilang, maka nama itu tidak memiliki apa-apa erti baginya. Jika sebuah kedai itu difungsikan oleh para penghuninya yang berdisiplin lagi berdedikasi, maka ia akan mencapai matlamatnya. Jika sebuah kedai itu digantung syarat-syarat matlamatnya namun tiada di kalangan para penghuni yang mengikutinya, maka matlamat itu tidak akan tercapai. Demikianlah juga bagi sesebuah negara. Jika kebanyakan warganya beragama Islam dan bebas mempraktikkan Islam, ia dikenali sebagai negara Islam. Mana-mana pengembara yang memasuki negara itu akan mengenali ia negara Islam tanpa perlu ada pengisytiharan rasmi bahawa ia sebuah negara Islam. Maka yang penting ialah pengisian dalam negara dan bukan nama yang diisytiharkan. Demikian jugalah jika warga sesebuah negara sentiasa meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah di tangga teratas, mereka akan menjadi muslim yang memiliki manhaj yang benar. Tidak penting apa yang tertera di perlembagaan negara, yang penting ialah apa yang tertera di dada setiap warganegara. |
0 comments:
Post a Comment