Kewajipan Seorang Muslim

Sunday, November 8, 2009



Sebagai satu checklist tentang kewajipan al-akh Muslim yang berintimak dengan gerakan Islam seperti yang ditentukan oleh as-Syahid Ustaz Hassan al-Banna dalam Risalah Taalim :

Kata-kata Ustaz Hassan al-Banna: "Saudaraku yang jujur, keimananmu terhadap bai'ah ini mewajibkan saudara menunaikan kewajipan-kewajipan berikut, sehingga dengan menunaikan kewajipan-kewajipan ini saudara telah menjadi seketul bata yang kuat dalam proses pembinaan ini :

  1. Hendaklah saudara mempunyai wirid tertentu dari al-Qur'an, tidak kurang dari satu juzuk setiap hari. Hendaklah saudara mengkhatamkan al-Qur'an tidak lebih dari masa sebulan dan tidak kurang dari tiga hari.
  2. Hendaklah saudara mengelokkan bacaan al-Qur'an, mendengar al-Qur'an dan mengambil pengajaran dari al-Qur'an. Hendaklah saudara mengkaji sejarah Rasulullah S.A.W. dan sejarah orang-orang Islam yang terdahulu sekadar keluangan waktu saudara. Paling kurang hendaklah saudara membaca buku "Humatul Islam". Hendaklah saudara banyak membaca hadith Rasulullah S.A.W. dan menghafaz sekurang-kurangnya 40 hadith, sebaik-baiknya 40 hadith itu ialah hadith susunan Imam Nawawi. Hendaklah saudara mengkaji risalah usul 'aqidah dan risalah cabang hukum Fiqh.
  3. Hendaklah saudara bersegera memeriksa kesihatan saudara secara umum dan mengubati penyakit yang ada pada saudara.Hendakalah saudara mengambil berat tentang soal-soal kekuatan tenaga saudara, menjaga tubuh badan, dan menjauhi sebab-sebab yang membawa kelemahan kesihatan saudara. 
  4. Janganlah saudara berlebihan minum kopi, teh dan lain-lain minuman yang merangsang. Hendaklah saudara jangan merokok sama sekali.
  5. Hendaklah saudara menjaga kebersihan dalam semua perkara, tempat tinggal, pakaian, makanan, anggota dan tempat kerja. Sesungguhnya Islam dibina di atas kebersihan.
  6. Hendaklah saudara benar dalam percakapan.Jangan berdusta sama sekali.
  7. Hendaklah saudara menunaikan janji dan mengotakan apa yang saudara perkatakan.Jangan saudara menyalahinya walau bagaimana keadaan saudara.
  8. Hendaklah saudara bersifat berani dan luas pandangan.Keberanian yang paling mulia ialah berterus-terang demi hak dan kebenaran, menyimpan rahsia, mengaku kesalahan, menginsafi diri dan menahan diri dari kemarahan.
  9. Hendaklah saudara bersifat serius dan mengutamakan kesungguhan, tetapi keseriusan saudara tidaklah menghalang saudara dari bergurau dengan gurauan yang benar dan senyum ketawa yang tidak melampau.
  10. Hendaklah saudara bersifat pemalu, halus perasaan, sensitif terhadap perkara-perkara baik dan jahat dengan merasakan gembira melihat kebaikan dan dukacita melihat kejahatan. Hendaklah saudara menuntut martabat kedudukan atau pangkat yang lebih rendah dari martabat yang sepatutnya saudara terima demi untuk mencapai martabat saudara yang sebenar.
  11. Hendaklah saudara berlaku adil, menghukum dengan yang sebenarnya dalam semua hal. Kemarahan saudara jangan sampai melupakan kebaikan orang, demikian juga keredaan saudara jangan sampai melupakan kejahatan orang lain. Permusuhan saudara jangan sampai melupakan kebaikan orang. Saudara mestilah berkata benar sekalipun terhadap diri saudara dan orang yang paling hampir dengan saudara, sekalipun perkara itu pahit bagi saudara.
  12. Saudara mestilah cergas, melatih diri memberikan khidmat umum. Saudara mestilah merasa bahagia apabila dapat memberikan khidmat kepada orang lain, oleh itu saudara hendaklah menziarahi pesakit, menolong orang yang berhajat, membantu orang yang lemah, memujuk dan menangkan mereka yang ditimpa kemalangan sekalipun dengan perkataan yang baik dan saudara mestilah sentiasa bersegera melakukan kerja-kerja kebajikan.
  13. Saudara mestilah bersifat belas kasihan, pemurah dan pengampun. Saudara hendaklah mengampun dan memaafkan, berlembut dan lemah lembut. Saudara hendaklah belas kasihan kepada manusia dan haiwan, baik hubungan dengan orang ramai, menjaga adab sopan masyarakat Islam; dengan itu saudara mestilah berlembut dengan orang yang lebih muda, menghormati orang yang lebih tua, melapangkan tempat duduk dalam masjid,jangan mengintip rahsia, jangan mencerca dan mengutuk, minta izin waktu masuk dan keluar dan lainnya.
  14. Saudara seharusnya cekap membaca dan menulis.Saudara hendaklah membanyakkan membaca dan meneliti risalah Ikhwan Muslimin, akhbar dan majalah lainnya. Hendaklah saudara menyediakan Khutub Khanah khas untuk saudara sekalipun kecil. Saudara mestilah meluaskan ilmu mempertingkatkan pengkhususan saudara sekiranya mempunyai pengkhususan dalam satu-satu bidang. Saudara juga mestilah memahami masalah-masalah Islamiyah secara umum dengan kefahaman dan membolehkan saudara menggambarkan permasalahan itu dan menentukan hukumnya sesuai dengan tuntutan fikrah kita.
  15. Saudara mestilah melakukan kerja-kerja iktisad yang mendatangkan hasil kemasukan wang walau bagaimanapun kekayaan saudara. Mengutamakan kerja-kerja bebas sekalipun kecil pendapatannya, menaruh minat kepada pekerjaan itu walau setinggi mana kelulusan saudara.
  16. Jangan mengutamakan jawatan kerajaan. Saudara mestilah menganggap jawatan kerajaan itu sebagai satu sumber rezeki yang sempit, tetapi saudara jangan menolaknya jika diberi peluang dan jangan saudara meletakkan jawatan itu kecuali ianya benar-benar bertentangan dengan kewajipan dakwah.
  17. Saudara mestilah sungguh-sungguh menunaikan tugas-tugas saudara dengan berusaha memperelok dan memperkemaskannya, menjaga masa dan jangan menipu.
  18. Saudara mestilah menerima hak saudara dengan baik, menyempurnakan hak orang lain dengan tidak kurang, tidak payah diminta dan jangan melambat-lambatkannya sama sekali.
  19. Saudara mestilah menjauhi riba dalam semua urusan dan membersihkan diri saudara dari riba.
  20. Saudara mestilah menjauhi segala jenis perjudian walau bagaimanapun tujuan di sebaliknya, menjauhi punca-punca pencarian yang haram walau bagaimanapun besar dan cepatnya keuntungan dari punca-punca itu.
  21. Saudara mestilah memberi khidmat kepada kekayaan Islam secara umum dengan menggalakkan industri dan perbadanan-perbadanan ekonomi Islam. Saudara mestilah berhati-hati benar supaya satu sen pun wang saudara tidak jatuh ke tangan orang bukan Islam walau bagaimanapun keadaan saudara. Jangan saudara pakai dan makan kecuali barang pengeluaran negara Islam.
  22. Saudara mestilah mempunyai saham dalam dakwah dengan memberikan sebahagian dari harta saudara. Saudara mestilah menunaikan zakat, jadikanlah zakat itu sebagai hak yang tertentu bagi mereka yang berhak walau bagaimanapun kecilnya pendapatan saudara.
  23. Saudara mestilah menyimpan sebahagian dari pendapatan saudara untuk masa-masa kecemasan sekalipun sedikit dan jangan sekali-kali saudara berlebihan dalam perkara-perkara mewah.
  24. Saudara mestilah bekerja sekadar yang upaya untuk menghidupkan adat-istiadat dan kebudayaan Islam dan menghapuskan kebudayaan kuning dalam kehidupan saudara yang zahir. Sebahagian dari adat-adat itu ialah salam, bahasa,sejarah, pakaian,perabot, masa kerja dan rehat, makan minum, adat sewaktu datang ziarah dan permisi, adat waktu kegembiraan dan kedukaan dan lain-lainnya. Saudara mestilah mengikut sunnah dalam semua hal ini.
  25. Saudara mestilah memulaukan mahkamah-mahkamah tempatan dan semua mahkamah yang tidak bercorak Islam. saudara mestilah memulaukan akhbar-akbar,majalah, kelab-kelab, perhimpunan-perhimpunan, sekolah-sekolah dan pertubuhan-pertubuhan yang bertentang dengan fikrah Islamiyah.
  26. Saudara mestilah sentiasa ingatkan Allah, hari akhirat dan bersedia untuk menghadapinya. Saudara mestilah mengikuti jalan mencari keredhaan Allah dengan himmah dan azam yang tinggi. Saudara mestilah menghampirkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadat-ibadat yang sunat seperti sembahyang waktu malam, puasa paling kurang tiga hari sebulan, membanyakkan zikir dalam hati dan lisan. Saudara mestilah memilih doa-doa maasur, yang pernah dibuat oleh Rasulullah S.A.W. dalam semua keadaan.
  27. Bila saudara bersuci, saudara mestilah menyempurnakan syarat rukunnya dan saudara mestilah sentiasa dalam keadaan berwudhuk.
  28. Saudara mestilah menyempurnakan syarat dan rukun sembahyang dan sentiasa menunaikannya dalam waktunya.
  29. Saudara mestilah berpuasa dalam bulan Ramadhan, menunaikan haji jika upaya dan saudara mestilah melakukannya sekarang jika saudara berkuasa.
  30. Saudara mestilah sentiasa berniat untuk berjihad, ingin mati syahid dan membuat persediaan untuk tujuan tersebut sedaya yang boleh.
  31. Saudara mestilah sentiasa memperbaharui taubat dan istighfar, menjauhi dosa-dosa kecil lebih-lebih lagi dosa-dosa besar. Saudara mestilah menentukan satu masa yang khas sebelum tidur untuk saudara menghisab segala buruk baik yang telah saudara lakukan. Saudara mestilah menjaga masa, kerana masa itulah hidup. Jangan saudara menggunakan sedikitpun masa saudara untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah. Saudara mestilah bersifat warak, menjauhi perkara-perkara syubhat supaya saudara tidak terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram.
  32. Saudara mestilah melawan nafsu saudara sekeras-kerasnya sehingga mudah bagi saudara mengendalikannnya. Saudara mestilah menutup pandangan saudara dari melihat perkara yang mungkar, melawan perasaan, melawan dorongan naluri dalam diri saudara. Saudara mestilah mengangkat taraf saudara melalui naluri saudara dengan mengarahkannya kepada perkara-perkara yang baik dan halal. Saudara mestilah menjauhkan naluri saudara dari perkara-perkara haram, bila dan di mana sahaja.
  33. Saudara mestilah menjauhi arak dan bahan-bahan yang memabukkan dan yang seumpamanya.
  34. Saudara mestilah menjauhkan diri dari mendampingi rakan-rakan yang jahat dan kawan-kawan yang rosak akhlaqnya. Saudara mestilah menjauhi tempat-tempat maksiat dan dosa.
  35. Saudara mestilah memerangi tempat-tempat hiburan apa lagi mendekatinya. Saudara mestilah menjauhi perkara zahir yang menunjukkan kemewahan, boros dan bongkak.
  36. Saudara mestilah benar-benar mengenali anggota kumpulan saudara seorang demi seorang dan memperkenalkan diri saudara kepada mereka, demikian juga saudara hendaklah menunaikan hak-hak persaudaraan dengan sempurnanya dan dengan rasa kasih sayang, menghargai, tolong-menolong, mengutamakan orang lain dan saudara mestilah hadir dalam perhimpunan-perhimpunan mereka, jangan saudara ketinggalan kecuali dengan keuzuran yang tidak dapat dielakkkan di samping saudara sentiasa mengutamakan mereka dalam pergaulan dan perhubungan saudara.
  37. Saudara mestilah memutuskan hubungan saudara dengan mana-mana pertubuhan atau mana-mana perhimpunan yang tidak ada hubungan dengan maslahat fikrah saudara lebih-lebih lagi bila saudara diperintahkan berbuat demikian.
  38. Saudara mestilah bekerja menyebarkan dakwah kita di mana-mana sahaja. Saudara mestilah memberitahu pucuk pimpinan tentang keadaan dan hal-hal yang melingkungi saudara dan jangan saudara melakukan sesuatu amal yang akan memberi kesan dan menjejaskan perkara-perkara asasi pada pucuk pimpinan kecuali setelah mendapat izin. Saudara mestilah sentiasa melakukan hubungan roh dan amal dengan pucuk pimpinan. Saudara mestilah menganggap diri saudara sebagai seorang tentera dalam suasana tegang yang sentiasa menungggu perintah."


'ala kulli hal, moga kita dapat check balik diri kita sama ada sudah atau belum kita penuhi kewajipan-kewajipan itu. Moga kita upaya membaiki diri kepada menjadi tentera Allah yang sejati.Bi iznillah.

Sumber : Apa Ertinya Saya Menganut Islam? oleh al-Ustaz Fathi Yakan.

Barakallahu fikum..

Salam Semanis Iman

0 comments:

Post a Comment

Lokasi Pelawat

Kongsi